Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Tuesday, July 17, 2018

Pusingan 2 KTM Malaysia Orange Enduro 2018

  • Siri perlumbaan KTM Malaysia Orange Enduro 2018 telah pun berlangsung di Litar Enduro KTM Malaysia di Sungai Buaya.
  • Perlumbaan kali ini telah disertai oleh 101 orang peserta, dibahagikan kepada 7 kategori.
  • Bagi pusingan kali ini, Kategori Dual-Purpose dan Wanita telah ditambah.
Pusingan 2 bagi KTM Malaysia Orange Enduro 2018 telah menyaksikan lebih ramai peserta yang bertanding berbanding dengan Pusingan 1 yang telah diadakan di Sungai Petani, Kedah, pada bulan April lalu. https://motomalaya.net/blog/2018/04/23/pusingan-1-ktm-malaysia-orange-enduro-2018/ Seramai 101 orang peserta telah menyahut cabaran bagi membuktikan kemahiran mereka bersaing dengan para peserta yang lain di acara perlumbaan ini. Para peserta bersama dengan pasukan masing-masing telah mula mendirikan khemah pit dan menala jentera mereka seawal 7 pagi lagi, seiringan dengan pendaftaran yang bertali-arus sehinggalah ke permulaan perlumbaan. Penaja siri perlumbaan seperti Gracshaw dan Shizens (produk penjagaan muka, Gabit merupakan duta mereka) juga telah turut memperagakan produk mereka di khemah masing-masing. Susun atur litar Sungai Buaya KTM Malaysia telah diubah bagi memberikan lebih cabaran kepada peserta, bagi melenyapkan kelebihan buat mereka yang sudah biasa dengan litar ini. Penunggang pengilang KTM Malaysia, Gabit Salleh dan penunggang 'trials', Acoi Pangkolo telah bertungkus lumus sepanjang minggu bagi menyediakan litar untuk perlumbaan ini. Gabit bertanggungjawab bagi zon 'enduro', seperti 'hill climb', 'jungle track', bonggol dan lompatan, manakala Acoi pula telah menyediakan zon laluan berhalangan lengkap dengan tayar besar dan 'log crossing'. Jarak pusingan litar telah dipanjangkan 6km. Taklimat keselamatan telah dijalankan sebelum permulaan perlumbaan dan para peserta telah dilengkapkan dengan transponder pada motosikal mereka bagi mencatat masa pusingan mereka dengan lebih tepat.

ED5 - Terbuka CubCross

Acara dimulakan dengan kategori 'terkecil'. Seperti mana namanya, motosikal-motosikal ini pada asalnya adalah motosikal kapchai, dan telah diubahsuai dengan ruang gerakan suspensi yang lebih panjang dan bermacam lagi bagi menyesuaikannya untuk penunggangan off-road. Dalam kelas Terbuka ini, para peserta boleh menunggang sebarang motosikal Cubcross, tidak kira jenis mahu pun kapasiti enjinnya. Ahmad Kamarul Munir (#50) berjaya meloloskan diri ke hadapan kelompok dan meninggalkan para pelumba yang lain bagi mendahului perlumbaan dengan selesa dari mula sehinggalah ke penamatnya. Hafizi Bin Usman (#78) melintasi garisan penamat di tempat kedua, manakala Ahmad Jafri Bin Razali (#22) telah melengkapkan podium. Sejumlah 13 orang penunggang telah bersaing dalam kategori ini.

ED4 – Terbuka CKD

Kategori ini khusus untuk motosikal 'dirtbike' yang dipasang dalam negara (CKD). Dan dengan itu, ianya dipenuhi dengan jentera Kawasaki KLX150 dan KLX250. 23 orang penunggang telah mengambil bahagian dan mereka telah diberikan selama 30 minit bagi menyempurnakan seberapa banyak pusingan yang mereka mampu. Persaingan bagi tempat pendahulu telah bermula dari awal perlumbaan lagi. Selain itu, aksinya bertambah rancak apabila para pelumba mula membuat kesilapan demi kesilapan. Bahagian 'log crossing' ternyata amat mencabar buat model 150, akibat kelegaan tanah yang rendahnya itu. Muhamad Amirul Bin Ramli (#42) berjaya menangkis serangan Muhammad Faiz Zulhilmi Bin Fasli (#94), dengan perbezaan hanya 0.7 saat di garisan penamat. Ahmad Kamarul Munir pula telah merentasi garisan penamat dengan perbezaan masa kurang dari 0.5 saat di belakang penunggang tempat kedua.

ED3 – Terbuka Veteran

Aksi diteruskan dengan kategori Terbuka Veteran, yang mana ianya terbuka untuk penunggang berusia 40 tahun ke atas. Kategori ini telah melibatkan 18 orang penunggang. Mereka telah ditetapkan 30 minit tambah satu pusingan. Asdin Udin mendahului dari mula, merentasi garisan penamat hampir dua minit di hadapan Richard Lim dan tiga minit di hadapan Mohd. Sanusi Bin Mohd. Yaman.

ED6 – Rali D-P

Rali D-P (Rali Dual Purpose) adalah tambahan terbaru bagi siri perlumbaan KTM Malaysia Orange Enduro 2018 dan ianya terbuka untuk motosikal kembara 650cc ke atas, disertai oleh 11 orang penunggang. Kebanyakan peserta baru sahaja menyertai rali hutan "GIVI Rimba Raid Mat Daling" pada hujung minggu lalu. Ahmad Daniel Haiqal bermula garang dan menunggang pantas di hadapan Wong Chun Hing (juga dikenali sebagai Bee Wong). Namun Bee telah terlanggar sebuah lubang dengan kuat dan merosakkan rantainya, menyebabkannya seringkali tertanggal dari gegancu belakang. Dia tidak mempunyai sebarang pilihan selain daripada berhenti untuk membaiki jentera KTM 1190 Adventure-nya dan menyaksikan penunggang lain memintasnya. Ahmad Daniel Haiqal terus menunggang Ducati Multistrada 1200 Enduro-nya dengan pantas namun satu kesilapan telah menyebabkan tempat pertama yang dipegangnya dirampas oleh Shamsul Azhar Abu Hazim (Acoi Pangkolo). Dia kemudiannya terus menjarakkan diri meninggalkan para penunggang yang lain, sehinggalah ke bendera penamat. Bee kemudiannya menunggang dengan hebat bagi memintas keseluruhan penunggang, kecuali Shamsul dan Haiqal, meletakkannya di tempat ketiga.

ED2 - Terbuka KTM

Kategori ini terbuka untuk motosikal 'dirtbike' KTM sahaja. Ahmad Daniel Haiqal juga turut menyertai dalam kategori ini dan telah memenanginya dengan jarak masa sebanyak 45 saat di hadapan Lai Wai Seng dan 3 minit di hadapan Muhd Hazim bagi merangkul tempat di atas podium keduanya pada hari tersebut. Dengan 24 orang peserta, kategori ini adalah petanda baik jumlah jentera motosikal 'dirtbike' KTM yang ada dalam negara. Bagaimana pun, cuasa yang panas, kering dan berdebu pada hari berkenaan telah menyukarkan para penunggang; 8 orang daripada mereka gagal menamatkan perlumbaan.

ED7- Enduro Wanita

Seperti mana kategori D-P, kelas Enduro Wanita ini adalah tambahan baharu dalam siri perlumbaan KTM Malaysia Orange Enduro 2018. Kategori ini telah ditaja oleh selebriti dan pelawak terkenal negara, Achey Bocey, yang juga seorang penunggang enduro. Pagi tersebut bermula dengan dua pendaftaran sahaja, tetapi, jumlahnya meningkat ke sembilan sebelum permulaan perlumbaan. Para penunggang wanita ini bukan sahaja boleh menunggang, tetapi juga berlumba. Tiga orang pelumba, Nur Haziyah Bt. Ramli, Nor Hasinah Mohamed dan Siti Noor Safira Binti Mustafa bertarung sengit untuk tempat pertama dari mula lagi, namun ia bertukar menjadi pertarungan satu lawan satu antara Nur Haziyah dan Nor Hasinah. Nor Hasinah mendahului perlumbaan tersebut sehinggalah dia telah melakukan kesilapan yang membolehkan Nur Haziyah memintasnya dan merangkul kemenangan.

ED1 - Kategori Terbuka

Ini adalah kelas premier bagi siri ini, yang mana ia membabitkan para penunggang off-road utama negara, termasuklah Ahmad Daniel Haiqal, Muhammad Khairul Afif dan Muhd. Habibullah Muhd. Saleh @ Gabit, dari sejumlah 15 orang penunggang. Aksi rancak telah berlaku di antara ketiga-tiga penunggang tersebut pada awal perlumbaan, sebelum Haiqal menjarakkan diri dari kelompok penunggang. Dan sekali lagi, satu kesilapan telah membawa perbezaan yang besar; yang mana telah dimanfaatkan oleh Afif dan juga Gabit. Bagaimana pun, kedua-dua penunggang itu menunggang dengan berjaga-jaga pada bahagian penghujung perlumbaan, membolehkan Afif memenangi perlumbaan di hadapan Gabit dengan jarak masa 10 saat. Haiqal berjaya mendapat tempat ketiga, dengan perbezaan masa dua minit.

Kesimpulan

Siri perlumbaan KTM Malaysia Orange Enduro ini telah menunjukkan bahawa kancah perlumbaan off-road di Malaysia ini cukup berdaya saing sekali dengan jumlah peserta yang semakin meningkat. Keputusan KTM Malaysia untuk menganjurkan Orange Enduro juga merupakan langkah positif bagi membolehkan para penggemar dan penunggang professional berlumba dan menilai tahap kebolehan mereka, tidak kiralah jenama motosikal yang mereka tunggangi. KTM Malaysia berjaya mengisi satu ruang yang masih belum dipenuhi oleh para pengeluar yang lain. Lihat sahajalah tahap sambutan bagi acara Orange Enduro, dan tidak lupa dengan kelas yang baharu, iaitu Rali D-P dan juga Wanita. Dengan jumlah penyertaan yang begitu banyak, dan juga penonton yang datang menyaksikannya, belum terlambat lagi bagi pengeluar lain untuk bertindak. GALERI GAMBAR [gallery columns="5" ids="49276,49277,49278,49279,49280,49281,49282,49283,49284,49285,49286,49287,49288,49289,49290,49291,49292,49293,49294,49295,49296,49297,49298,49299,49300,49301,49302,49303,49304,49305,49306,49307,49308,49309,49310,49311,49312,49313,49314,49315,49316,49317,49318,49319,49320,49321,49322,49323,49324,49325,49326,49327,49328,49329,49330,49331,49332,49333,49334,49335,49336,49337,49338,49339,49340,49341,49342,49343,49344,49345,49346,49347,49348,49349,49350,49351,49352,49353,49354,49355,49356,49357,49358,49359,49360,49361,49362,49363,49364,49365,49366,49367,49368,49369,49370,49371,49372,49373,49374,49375,49376,49377,49378,49379,49380,49381,49382,49383,49384,49385,49386,49387,49388,49389,49390,49391,49392,49393,49394,49395,49396,49397,49398,49399,49400,49401,49402,49403,49404,49405,49406,49407,49408,49409,49410,49411,49412,49413,49414,49415,49416,49417,49418,49419,49420"]

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/