Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Monday, July 16, 2018

Hebat sangat ke Ducati Panigale V4 ni?

  • Ducati Panigale V4 telahpun dilancarkan di pasaran seluruh dunia dan ramai yang bertanya tentang prestasi jentera superbike terbaharu dari Ducati.

  • Ducati Malaysia telah menjemput kami untuk menyertai Ducati Riding Experience (DRE) di dalam litar SIC iaitu program DRE Racetrack Academy.

  • Kami diberi peluang untuk mencuba jentera Ducati Panigale V4 S dan uji secara maksimum kehebatan superbike Ducati Panigale generasi baru ini.

Sejak tahun lepas lagi, kami di MotoMalaya.net telah mengikuti perkembangan sebuah motosikal keluaran Italy yang bakal mengubah persepsi dunia terhadap 'superbike'. Pengeluar motosikal terkemuka Ducati mempunyai rancangan untuk menghasilkan superbike generasi baharu mereka yang paling berkuasa dan terkini berinspirasikan mesin lumba MotoGP Ducati Desmosedici. Dari ura-ura, pelancaran enjin Desmosedici Stradale (atau Desmosedici 'Street') sehinggalah pengumuman rasmi, Ducati memperkenalkan mesin keluaran pertama yang menggunakan enjin empat silinder iaitu Ducati Panigale V4. Setelah sekian lama, jentera inilah yang dinanti-nantikan dan kami telah mendapat peluang keemasan untuk mencuba jentera ini hujung bulan lepas. Ducati Malaysia telah menjemput kami untuk menyertai program Ducati yang dijalankan serata dunia iaitu Ducati Riding Experience atau DRE. Pada tahun ini, kami dapat mencuba superbike generasi baharu Ducati ini di Litar Antarabangsa Sepang atau SIC (Sepang International Circuit) bersama jurulatih-jurulatih terkemuka dari seluruh dunia. Buat pertama kali, DRE di Malaysia menggunakan jentera Ducati Panigale V4 S bersama peserta-peserta lain di dalam program khas litar iaitu DRE Racetrack Academy. Kami dipecahkan kepada empat kumpulan berbeza berdasarkan pengalaman kami berlumba di litar dan keupayaan dalam mengendali jentera superbike. Dibawah adalah beberapa spesifikasi penting yang membuat Ducati Panigale V4 S unik dari superbike dari pengeluar yang lain.
  • Enjin: 1,103cc Desmosedici Stradale V4 mampu menjana 214hp dan 124Nm tork maksimum
  • Berat kering: 174kg
  • Sistem elektronik lengkap
    • Bosch EVO ABS Cornering
    • Ducati Traction Control EVO (Kawalan cengkaman tayar)
    • Ducati Slide Control (Kawalan gelongsor tayar)
    • Ducati Quick Shift up/down (Kawalan tuas gear tanpa penggunaan klac)
    • Ducati Wheelie Control (Kawalan daya angkat tayar hadapan)
    • Engine Brake Control EVO (Kawalan daya brek dari enjin)
    • Auto tyre calibration (Penentukuran tayar automatik)
  • Sistem suspensi terkini dari Ohlins dengan kawalan elektronik
  • Rim buatan aluminium yang lebih ringan
  • Bateri jenis lithium-ion yang lebih ringan
(Jika anda inginkan lebih kuasa, Ducati Panigale V4 juga menawarkan sistem ekzos penuh dari Akrapovic yang mampu meningkat kuasa sehingga 226hp!) Pada mulanya, kebanyakan kami agak risau untuk mengendali sebuat jentera yang sangat ringan tetapi sangat berkuasa keluaran Ducati ini. 214hp dengan berat yang tidak lebih dari 200kg merupakan kombinasi yang menggerunkan tetapi tenaga pengajar kami dari Thailand iaitu Sakda Lek Adkaskel Phanyuenyong (panggil Lek sahaja) memberi jaminan kerana sistem elektronik yang dihasilkan pada motosikal ini akan membantu penunggang untuk mengendali dengan selamat, selesa dan senang. Susah nak percaya dan sebelum kami dapat memulakan diskusi secara mendalam, kami terus diajak untuk masuk kedalam litar. Ducati Panigale V4 ini merupakan sebuah jentera yang menggunakan teknologi terkini yang dihasilkan oleh usaha Ducati di dalam MotoGP dan juga jentera termahal yang pernah dihasilkan oleh mereka iaitu Ducati 1299 Superleggera. Pendek cerita, mereka ambil Ducati Desmosedici dan Superleggera dan berjaya menghasilkan generasi superbike Panigale terbaharu yang boleh dibawa dengan senang di jalan raya dan sepantas kilat di dalam litar. Spesifikasi yang selama ini hanya ada untuk mereka yang betul-betul mampu kini telah disediakan di dalam pakej dengan harga yang lebih rendah. Gabungan rangka jenis 'twin spar', enjin 1,103cc V4 dan segala sistem elektronik terkini dari Ducati telah diuji oleh kami secara keseluruhan di litar SIC sambil mengikut jurulatih masing-masing. Pada mulanya, kami menggunakan mod 'Street' dimana kawalan kuasa, cengkaman tayar dan elektronik ditetapkan pada tahap yang paling selamat. Kami agak terkejut atas betapa senang dan selesa untuk menunggang Ducati Panigale V4 S yang tidak memenatkan langsung. Watak Panigale yang selama ini menggunakan enjin konfigurasi V-twin masih kekal tetapi untuk model V4, kami dapati bahawa ia kurang kasar bersama tahap prestasi yang lebih menakjubkan. Walaupun dengan enjin V4, bunyi masih serupa seperti Panigale sebelum ini dengan sedikit perbezaan dari segi kelantangan (lebih 'smooth' tetapi masih garang). Sesi pertama merupakan sesi suai kenal jentera dan litar dimana jurulatih kami memberi sedikit tunjuk ajar berkenaan cara pengendalian dan garis perlumbaan yang paling optimum. Sesi kedua, jentera Ducati Panigale V4 S kami dipasangkan dalam mod 'Sport' dimana sistem memberi sedikit kelonggaran kepada kemahiran penunggang untuk mengendali mesin ini dengan lebih cekap. Sekali lagi, ramai yang terkejut atas betapa senangnya untuk merasa keselesaan dan segala kuasa dari enjin 1,103cc ini dalam masa yang sangat singkat. Keluar sahaja dari setiap selekoh, kami cuba mengikut rentak jurulatih dimana pendikit dipulas secara maksimum dan tukaran gear tanpa klac digunakan sepantas kilat membawa kami sehingga 250km/j (ia mampu pergi lagi laju tapi kami ikut rentak jurulatih yang lebih mengetahui) sebelum kami perlu brek sebelum masuk kedalam selekoh yang seterusnya. Kami juga sangat kagum dengan prestasi brek terbaharu yang dicipta oleh Brembo iaitu Brembo Monobloc Stylema® (M4.30). Menurut Ducati, ini merupakan antara pakej brek yang terhebat di pasaran masa kini. Walaupun dalam mod 'Street', anda mampu brek dengan kekuatan 100% (tekan sekuat mungkin) dan sistem elektronik, ABS dan 'Cornering ABS' akan pastikan anda berhenti dalam keadaan yang selamat tidak kira jika anda sedang memecut pada kelajuan 300km/j atau sedang mengheret lutut (atau siku jika anda Jorge Lorenzo atau Casey Stoner). Pada tahap ini, kami bertukar pendapat dengan beberapa jurulatih DRE tentang prestasi dan keselamatan Ducati Panigale V4 S ini. Kami dapat merasa akan terdapat beberapa pihak yang akan berpendapat bahawa Ducati Panigale V4 ini 'terlalu elektronik' dan akan cepat bosan. Mereka hanya senyum dan terus ajak kedalam litar sekali lagi. Cuma kali ini, jentera telah diletakkan di dalam mod 'Race'. [embed]https://www.youtube.com/watch?v=lbwMAqKNqL8[/embed] Hasilnya, sebuah jentera yang mempunyai watak yang sangat berbeza. Dari aspek 'engine braking' sehingga 'wheelie control' dan 'slide control', Ducati Panigale V4 S dalam mod 'Race' memang liar dan ganas. Setiap kali keluar selekoh, sistem elektronik akan memberi kelonggaran untuk menggelongsorkan tayar belakang (atau 'drift') dan mengangkat tayar hadapan untuk pecutan maksimum. Walaupun dengan tayar terkini dari Pirelli iaitu Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 (dihasilkan khas untuk Ducati Panigale V4), jentera ini masih mampu memberi prestasi maksimum dan juga pengendalian yang sangat senang walaupun anda masih dalam proses penambahbaikan dalam aspek pengendalian pendikit dan brek. Teknologi MotoGP yang digunakan di dalam enjin iaitu 'backward-rotating crankshaft' juga memberi pengedalian yang lancar dan senang walaupun jika anda ingin bertukar arah dengan laju. Sedikit demi sedikit, jurulatih dari Thailand menambahkan kelajuan dan kami mampu mengikut rentak beliau di dalam litar yang agak teknikal. Mod 'Race' sangat sesuai bagi pelumba-pelumba (ataupun mereka yang mempunyai 'jiwa kelajuan') yang inginkan kebebasan mengikut gaya menunggang mereka tetapi dengan pengalaman kami, mod 'Sport' sudah memadai untuk memberi senyuman yang sangat lebar setiap kali kami memikirkan tentang jentera superbike terbaharu dari Ducati. Kembali kepada soalan tentang kehebatan Ducati Panigale V4, ia merupakan jentera superbike yang sangat menakjubkan dan jika rezeki murah, kebarangkalian untuk kami memilikinya adalah sangat tinggi. Pengalaman kami di DRE Racetrack Academy juga telah memberi tunjuk ajar dan juga keyakinan yang tidak ternilai dalam mengendali jentera berprestasi tinggi. Jika anda diberi peluang, silalah sertai program DRE yang diadakan setiap tahun di SIC (jika rezeki murah, boleh juga serta DRE di Italy bersama pelumba-pelumba Ducati terkemuka seperti Michelle Pirro dan Marco Melandri). Kombinasi Ducati Panigale V4 S dan DRE Racetrack Academy juga merupakan pengalaman yang mampu mengubah persepsi anda terhadap jentera dari Ducati, teknologi motosikal terkini dan peningkatan kemahiran menunggang di dalam dan luar litar. Untuk ketahui tentang Panigale V4 dengan lebih lanjut, kunjungi mana-mana pengedar rasmi Ducati di seluruh Malaysia. Sumber imej: Ducati / F8 Photography [gallery columns="5" ids="49458,49459,49468,49470,49472,49481,49482,49485,49489,49491,49493,49494,49496,49497,49498,49499,49500,49501,49503,49505,49506,49507,49508,49509,49510,49511,49512,49513,49516,49517,49518,49519,49520,49523,49524,49526,49527,49528,49529,49530"] https://motomalaya.net/blog/2018/01/05/ducati-panigale-v4-2018-kini-dibuka-untuk-tempahan-dari-rm133900-rm359900/

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/