Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Wednesday, June 13, 2018

SEPULUH PERSETERUAN PERLUMBAAN MOTOSIKAL PALING HANGAT (BAHAGIAN 2)

Dalam Bahagian 1, kami telah senaraikan lima daripada Sepuluh Perseteruan Perlumbaan Motosikal Paling Hangat. Anda boleh tekan pautannya di bawah untuk artikel berkenaan. Di sini, kami senaraikan lima lagi perseteruan yang menjadi bualan hangat para peminat sukan permotoran di seluruh dunia. https://motomalaya.net/blog/2018/06/11/sepuluh-perseteruan-perlumbaan-motosikal-paling-hangat-bahagian-1/

5. Carl Fogarty vs. Scott Russell, WSB, 1992 - 1994

Tiada perseteruan dalam WSB yang sehangat dan sesengit perseteruan antara Carl Fogarty dan Scott Russell pada awal tahun 90-an. Mereka berdua merupakan pesaing utama untuk kejuaraan WSB, dengan penunggang Amerika Syarikat, Scott Russell, memenangi takhta kejohanan pada tahun 1993 di atas jentera Kawasaki Ninja ZXR-750, manakala dominasi Fogarty (lebih dikenali dengan nama gelaran "Foggy") bermula dari tahun 1994 di atas jentera Ducati 916 yang baharu. Berbilang kali mereka enggan berjabat tangan sesama mereka. Ada khabar angin mengatakan yang Foggy menamakan haiwan peliharaany dengan nama seterunya itu. Rasa benci yang mendalam ini juga turut melimpah ke perlumbaan Daytona 200 tahun 1994 di Amerika Syarikat, di mana ianya dimenangi oleh Russell. Mereka enggan memandang satu sama lain di atas podium dan juga sidang akhbar selepas perlumbaan. Malah, ketika menjawab soalan sekalipun, mereka sering berebut mikrofon, merampasnya dari tangan satu sama lain.

4. Valentino Rossi vs. Max Biaggi, GP 500cc, 2000 - 2005

Valentino Rossi telah menunjukkan penguasaannya di GP 125cc dan 250cc dan kemudiannya berpindah ke kejohanan 500cc pada tahun 2000 dan mula bermain permainan minda dengan sesiapa sahaja yang mencabarnya di atas litar. Walaupun dia telah berjaya mendapat ramai pengikut dan peminat di seluruh dunia kerana gelagatnya di dalam mahu pun luar litar, dia akan hanya berkelakuan baik di atas litar sekiranya hasil keputusan menyebelahinya. Atas sebab inilah wujudnya sikap berpuak di kalangan peminat MotoGP: Anda akan serta merta dicop sebagai 'fanboy' Rossi jika anda mengkritik penunggang-penunggang yang lain. Masuk tahun 2001, dia sudah bersedia untuk mencabar Max Biaggi setelah juara bertahan, Kenny Roberts Jr., mulai tenggelam. Biaggi, yang juga terkenal dengan nama gelaran "Roman Emperor", merasakan yang dia perlu menunjukkan penunggang muda itu, siapa jaguh dalam kelas premier ini. [caption id="attachment_48226" align="aligncenter" width="720"] Sumber imej: MotoGP.com[/caption] Sewaktu perlumbaan GP 500cc Suzuka 2001, Biaggi telah menyiku Rossi, menyebabkan Rossi tersasar ke atas rumput sewaktu mereka berdua sedang berlumba pada kelajuan 220km/j. Rossi memintas semula Biaggi pada pusingan yang berikutnya dan menyapa Biaggi dengan jari tengahnya. Kedua-dua penunggang telah dikenakan denda dan amaran keras untuk "unsportsmanlike conduct". Perseteruan ini memuncak di Catalunya apabila mereka berdua bergaduh di atas tangga yang menuju ke atas podium. Apabila ditanya mengenai bekas yang ada pada mukanya, Biaggi menyatakan yang dia "digigit seekor nyamuk".

3. Valentino Rossi vs. Casey Stoner, Jorge Lorenzo – MotoGP, 2007 – 2011

2007 merupakan tahun bagi jentera empat lejang 800cc dalam MotoGP. Entah dari mana, penunggang Australia, Casey Stoner yang mengemudi jentera Ducati, mulai mengatasi Rossi. Rossi dakwa yang ianya disebabkan oleh tayar Bridgestone yang digunakan pada jentera Ducati yang membolehkan Stoner merangkul kemenangan. Stoner mendominasi musim tersebut dengan memenangi sepuluh perlumbaan dan memberikan takhta kejohanan MotoGP yang pertama dan satu-satunya buat Ducati sehingga hari ini. Namun, ianya bertambah marak lagi sewaktu mereka berdua bertarung dengan sengit di GP Amerika Syarikat 2008 di litar Laguna Seca. Rossi telah mencuba satu tindakan memintas yang agresif sewaktu memasuki 'chicane' Corkscrew yang terkenal di litar itu, menyebabkan Stoner terjatuh dari jentera Ducatinya. Menambahkan lagi kemarahan Stoner adalah komen Rossi selepas perlumbaan tersebut, "The fight was funny (yang boleh diertikan sebagai lawak)", yang mana ada merasakan yang Rossi maksudkan "seronok". Jawapan Stoner ternyata lebih tajam, mengatakan yang taktik Rossi itu kotor dan membahayakan. Stoner kemudiannya berpindah ke pasukan pengilang Honda pada tahun 2011 dan tahun ini mereka sekali lagi bertembung dalam satu insiden. Sewaktu perlumbaan yang basah di Jerez, Stoner sedang mengekori mendiang Marco Simoncelli. Rossi, yang pada ketika ini telah menyertai pasukan Ducati, meluru masuk ke sebelah dalam Stoner sewaktu Selekoh 1, tergelincir dan menyebabkan mereka berdua terbabas. Bagaimana pun, ke semua marsyal meluru ke arah Rossi bagi membantunya dan tiada seorang pun yang datang membantu Stoner. Sekali lagi, penunggang Australia itu muncul di hadapan kaca tv dan mengkritik Rossi, mengatakan "Cita-cita kau lagi hebat dari bakat kau". Peminat dari kedua-dua belah pihak mula terlibat sekali dan ini menyebabkan berlaku perang di laman Twitter.

2. Kevin Schwantz vs. Wayne Rainey, AMA Superbikes dan GP 500cc, 1986 – 1993

Perseteruan antara dua legenda ini telah bermula jauh lebih lama daripada apa yang telah kita saksikan di kaca tv dalam GP 500cc. Kebencian yang mereka rasa untuk satu sama lain telah bermula dari waktu mereka bertanding di Amerika Syarikat dan apa yang kita saksikan dalam perlumbaan GP hanyalah kesinambungannya. Begitu bencinya mereka terhadap satu sama lain, sehinggakan mereka secara terbukanya telah mengaku telah sengaja berlumba secara kotor dan berlanggar sesama mereka. Schwantz pernah berkata, "We would ride each other right into the grandstands." Begitu hebatnya perseteruan mereka sehinggakan mereka tidak mahu bersua muka di atas podium. Ianya berubah apabila Rainey terlibat dalam sebuah kemalangan di Misano pada tahun 1993, yang menyebabkannya lumpuh. Kemalangan tersebut memaksa Schwantz untuk menilai kembali akan batasannya. Selain itu, dengan hilangnya seteru utamanya itu, dia kehilangan sebab untuk memaksa dirinya. Pada ketika inilah baru mereka berdua sedar bahawa mereka tidak tahu akan sebab mengapa mereka saling membenci. Schwantz memutuskan bahawa perkara terbaik yang boleh dia lakukan adalah menyokong Rainey dalam menghadapi cabarannya dan mereka berdua telah menjadi sahabat baik semenjak itu.

1. Valentino Rossi vs. Marc Marquez, MotoGP, 2015 hingga sekarang

Schwantz vs. Rainey pasti menjadi perseteruan nombor satu, jika tidak kerana perseteruan yang teramat hangat dan semasa ini. Kedua-dua penunggang merupakan sahabat baik, walaupun ketika Maruez mendominasi dan memenangi kejohanan dalam musim pertamanya dalam MotoGP. Tampak seperti Rossi telah hilang sedikit panas barannya kerana mereka tetap mesra walaupun ada aksi memintas yang agresif di atas litar. Namun, ianya berubah pada tahun 2015. Rossi pada ketika itu sedang bersaing dengan Lorenzo sepanjang musim dan dia telah mendahului kejohanan sewaktu memasuki pusingan kedua terakhir di Malaysia. Marquez pada ketika itu berada di tempat ketiga namun peluang menjuarai kejohanan telah pun terpadam. Marquez bertindak agresif sewaktu perlumbaan, memintas Rossi dalam situasi 'do-or-die', dan pada masa yang sama, Lorenzo telah menjarakkan diri di hadapan. Rossi turut memberi isyarat pada Marquez untuk menjarakkan diri darinya, namun aksi pintas memintas terus berlaku. Rossi yang berasa tidak puas hati telah menolak Marquez, menyebabkan penunggang Sepanyol itu terbabas. Rossi kemudiannya menuduh Marquez membantu Lorenzo memenangi kejohanan tahun itu; dakwaan yang dinafikan Marquez secara konsisten. Ramai yang membuat spekulasi bahawa Marquez merasakan Rossi yang menyebabkannya hilang peluang muncul juara tahun itu dan ini adalah balasan dendamnya. Rossi didenda dan dihantar ke hujung grid sewaktu perlumbaan terakhir di Valencia. Dia berusaha memintas penunggang-penunggang di hadapannya namun tetap hilang kejuaraan tersebut kepada Lorenzo. Kedua-dua penunggang berbaik semula di GP Catalunya pada tahun 2016. Ianya tindakan yang disokong oleh komuniti perlumbaan dan juga para peminat. Namun begitu, sebaik sahaja semua orang rasa yang ianya sudah berakhir, Marquez telah melakukan kesilapan sewaktu GP Argentina 2018, yang menyebabkan Rossi terbabas. Rossi kemudiannya telah mengadakan sidang akhbar khas bagi mengutuk tindakan Marquez, yang dianggapnya tidak bertanggungjawab, merbahaya, dan mencalar imej sukan ini secara keseluruhannya. Mereka berdua masih belum bersemuka pada waktu artikel ini ditulis.

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/