Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Friday, June 8, 2018

Perlukah Had Umur Minimum Untuk Mendapatkan Lesen Motosikal Ditukar?

  • Undang-undang semasa berkaitan dengan had umur minimum lesen motosikal sedang dikaji semula.
  • Bagi mencegah masalah perlumbaan haram dan samseng jalan raya, ada yang telah bersuara mengatakan had umur minimum perlu diturunkan.
  • Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengadakan satu kaji selidik atas talian bagi mengumpul maklumat dari orang ramai.
Perbincangan dan cadangan sedang dilanjutkan ke Kementerian Pengangkutan dengan matlamat untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhannya di Malaysia. Salah satu daripada idea yang telah dilontarkan adalah menukar had umur minimum bagi memperoleh lesen motosikal. Beberapa bulan yang lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat telah mengusulkan bahawa bagi menangani masalah mat rempit, had umur minimum bagi lesen motosikal B2 (250cc ke bawah) perlu direndahkan ke umur 14 atau 15 tahun. Kami telah mendengar pelbagai reaksi yang berbeza mengenai kemungkinan ini, dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menyediakan satu kaji selidik atas talian mengenainya. Kaji selidik atas talian ini diadakan bagi mendapatkan pendapat umum mengenai undang-undang semasa berkenaan pemerolehan lesen motosikal dan pendapat mengenai rombakan semula pada masa yang akan datang. Kami telah bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, awal hari ini sewaktu pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-20, yang dianjurkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Berkenaan isu ini, beliau menyatakan bahawa mereka telah menerima pelbagai usul mengenai perkara ini. Apabila ditanya mengenai pendapat peribadinya, beliau menyatakan yang dia tidak mempunyai sebarang pendapat peribadi dan sebarang keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan adalah berdasarkan fakta semata-mata. Salah satu daripada cara untuk mendapatkan fakta ini adalah melalui MIROS dan kaji selidik atas talian mereka. Jika anda berminat untuk menyumbang buah fikiran anda berkenaan dengan had umur minimum untuk lesen motosikal, anda boleh melakukannya dengan melengkapkan kaji selidik atas talian MIROS DI SINI. Ia hanya mengambil masa beberapa minit untuk melengkapkan kaji selidik berkenaan dan pendapat anda mengenai hal ini akan menjadi maklumat penting untuk masa depan keselamatan jalan raya di Malaysia. https://motomalaya.net/blog/2018/06/08/toc-automotive-college-sediakan-biayaan-buat-pelajar-kursus-juruteknik-superbike/

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/