Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Wednesday, June 6, 2018

Hafizh Syahrin Sah Kekal Bersama Pasukan Tech 3 Bagi Musim 2019

Penunggang MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin akan terus bersama dengan pasukan Tech 3 bagi musim 2019. Pembaharuan kontrak selama satu tahun itu akan menyaksikan Hafizh bertukar ke jentera pengilang KTM bagi musim hadapan. Hafizh kini berada di kedudukan teratas di kalangan penunggang rookie musim ini. Teka-teki mengenai masa depan Hafizh Syahrin dalam kelas MotoGP telah pun terjawab, di mana pasukan semasanya, Monster Yamaha Tech telah mengumumkan secara rasminya yang penunggang dari Malaysia itu telah menandatangani pembaharuan kontrak bagi MotoGP musim 2019. Penunggang berusia 23 tahun itu telah dipilih Hervé Poncharal bagi mengisi tempat yang terpaksa dikosongkan oleh Jonas Folger, dan sejak dari permulaannya lagi, telah menunjukkan peningkatan prestasi yang membanggakan setiap kali dia mengemudi jentera Yamaha pasukan berkenaan. "Sukar untuk saya mempercayainya," luah Hafizh." Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hervé kerana memberi kepercayaan kepada saya dan memberikan peluang ini untuk terus kekal bersama keluarga Tech 3 dan pada masa yang sama, menyertai keluarga KTM. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengurus saya, Dato' Razlan, yang telah membantu saya mencapai cita-cita bersaing dalam kelas MotoGP, dan juga terima kasih kepada KTM kerana memberi kepercayaan kepada Hervé dan saya. Saya akan berusaha dengan lebih keras pada tahun 2019 dan dan akan lebih bersedia, memandangkan yang ianya tidak datang mengejut seperti musim ini. Saya teramat gembira kerana telah diberikan peluang ini, hinggakan saya rasa saya hampir menangis kegembiraan. Terima kasih kepada semua dan terutamanya buat Hervé dan Dato' Razlan kerana sentiasa menyokong saya." "Hari ini adalah satu hari yang amat istimewa buat saya dan keseluruhan pasukan Tech 3," ujar Poncharal. "Sejak Hafizh mengemudi jentera MotoGP kami, ianya terasa seakan satu mimpi, setiap hari, kerana dia amatlah pantas, lebih pantas dari andaian sesetengah orang dan kami berasa amat bangga akan pencapaiannya. Saya tahu yang ianya satu pencapaian yang hebat bagi seorang penunggang Malaysia untuk menjadi yang pertama berada dalam kelas premier MotoGP untuk negaranya, dan dalam perlumbaan MotoGPnya yang pertama, Hafizh telah berjaya mengutip mata dan sejak itu dia dengan konsistennya telah bersaing bagi merebut gelaran penunggang rookie terbaik. Selain daripada itu, Hafizh mempunyai perwatakan yang cukup istimewa.   Menamatkan empat dari enam perlumbaan dalam posisi mengutip mata, Hafizh telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan sekali bagi seorang penunggang rookie, di mana dengan 17 mata yang telah dikutipnya menempatkan di tangga teratas di kalangan penunggang rookie bersama dengan Franco Morbidelli yang juga mengutip 17 mata. Bagi musim yang akan datang, pasukan Tech 3 akan berpindah dari jentera Yamaha ke jentera KTM, di mana mereka akan menggunakan jentera KTM RC16 yang terkini, seperti para penunggang pasukan pengilang Red Bull Factory Racing. Hafizh akan menyertai Miguel Oliveira dalam pasukan Monster KTM Tech 3, manakal pasukan pengilang Red Bull KTM Factory Racing pula akan diisi dengan Johann Zarco dan Pol Espargaro. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP. Sumber: MotoGP  

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/