Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Monday, May 14, 2018

Pirelli Superbike Championship (MSBK) 2018: Keputusan Memberangsangkan Buat Chia Motor PJ

  • Chia Motor PJ telah terlibat dalam perlumbaan MSBK sejak bertahun lamanya.
  • Menandatangani perjanjian bersama Azlan Shah Kamaruzaman baru-baru ini, ini adalah perlumbaan pertama mereka bersama.
  • Dengan satu keputusan perlumbaan tempat ke-tiga dan satu kemenangan, Chia Motor PJ akan menuju ke Pusingan 2 di tempat ke-dua.
Ianya merupakan satu permulaan yang agak baik buat Chia Motor PJ pada siri perlumbaan kebangsaan dalam Pusingan 1 di Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 (MSBK). Penunggang terbaru pasukan tersebut, Azlan Shah Kamaruzaman, yang telah bertanding dalam siri Asia Road Racing Championship (ARRC), dan sebelum ini di Moto2, telah mendominasi sesi latihan dan kelayakan sebelum bermulanya perlumbaan pada hari Ahad tersebut. Namun, hujan lebat yang turun pada awal pagi Ahad tersebut sebelum bermulanya Perlumbaan 1 bagi kategori Superbike memberikan satu cabaran yang baru dalam mengelilingi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu. Seperti yang diketahui oleh mereka yang pernah menunggang di SIC sebelum ini, walaupun hujan telah berhenti sewaktu pitlane dibuka, litarnya masih lagi basah dengan banyak tompok basah yang tersembunyi. Di satu selekoh ianya mungkin kering namun di selekoh yang lain mungkin pula sebaliknya. Perlumbaan itu telah diisytiharkan sebagai WET RACE dan para kru pasukan dengan tangkas mengenakan tayar basah Pirelli ke jentera masing-masing. Sewaktu ahli pasukan berada di grid permulaan, dapat dirasakan tenaga gementar mereka, kerana ianya merupakan tunggangan pertama Azlan bersama pasukan tersebut. Setiap penunggang punyai gaya penunggangan yang tersendiri, dan dengan itu, mengatur cara jentera mengikut keperluan penunggang berbeza dari satu penunggang ke penunggang yang lain, dan ia mengambil masa untuk memupuk keserasian tersebut; antara penunggang, pasukan, jentera, dan kelengkapan. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, tayar belakang Azlan dapat dilihat dengan jelas sukar untuk dikawal. Ia juga jelas yang motosikalnya agak sukar dikawal sewaktu pembrekan. Terdapat juga spekulasi mengatakan Azlan menggunakan tayar 'slick'. Penunggang tersebut telah terpaksa memperlahankan rentaknya. Dalam pit, wajah gusar mengelilingi monitor tv sewaktu bekas juara MSBK dan juga bekas penunggang bagi pasukan Chia Motor PJ, Rajini Krishnan memintas Azlan dan menjarakkan dirinya dari para pesaing. Ketua Pasukan, Keith Chia (lebih mesra dikenali sebagai 'Ah Kit'), yang tidak pernah kami lihat tanpa senyuman, juga kelihatan agak suram. Seluruh pasukan bagaikan membisu - keadaan di pit sangat senyap walaupun di luar sana motosikal menderu laju pada kelajuan tinggi. Selepas itu, penunggang pasukan TOC HKMToyo, Ramdan Rosli, berjaya mendekati dan kemudiannya memintas Azlan untuk tempat ke-dua di peringkat hujung perlumbaan. Azlan hampir kehilangan tempat ke-tiganya, tetapi dia berjaya mempertahankan kedudukannya. Di pengakhir perlumbaan, Rajini berjaya memenangi perlumbaan, diikuti oleh Ramdan, dan Azlan di tempat ke-tiga. "Kami gagal menetapkan tahap kawalan cengkaman yang betul pada perlumbaan pertama. Jentera Kawasaki ZX-10R adalah sebuah jentera yang amat berkuasa dan tayar belakangnya mulai menggelongsor sebaik sahaja Azlan memulas pendikit," ujar Keith selepas perlumbaan. "Ianya lebih baik untuk menamatkan perlumbaan dan memenangi mata (daripada terbabas dan gagal memperolehi sebarang mata)," tambahnya lagi. Dan itulah lumrahnya, untuk menang, anda perlu menamatkan perlumbaan terlebih dahulu. Di sebelah petangnya pula, tumpuan semua mata di Chia Motor PJ sekali lagi terarah pada monitor TV sewaktu perlumbaan SuperSport, yang diadakan sebelum Perlumbaan 2 Superbike. Ini adalah untuk memerhatikan keadaan litar dan tingkah laku motosikal yang sedang berlumba, bagi menentukan atur cara dan pilihan tayar bagi Perlumbaan 2. Matahari mulai kelihatan di balik awan sewaktu pertengahan Perlumbaan 1 SuperSport, menyebabkan pasukan Superbike bergegas menggantkan tayar basah ke kering. Azlan, Ramdan, dan Rajini bermula dengan hebat sekali, menjarakkan diri dari pesaing-pesaing yang lain. Azlan mendahului perlumbaan pada Pusingan 2, dan secara tiba-tiba, Rajini hilang dari pandangan, sebelum kamera menjumpainya di 'gravel trap' di Selekoh 1. Ramdan cuba mengejar namun gabungan kemahiran penunggangan Azlan beserta jentera Kawasaki yang telah disediakan Chia Motor PJ ternyata sukar untuk ditandingi - Azlan menjarakkan diri sejauh 2 saat setiap pusingan dan berjaya memenangi perlumbaan. Chia Motor PJ berasa amat gembira dengan keputusan yang telah diperolehi dan Azlan kini berada di tempat ke-dua dalam kejohanan, di mana siri Malaysia Superbike Championship ini akan berehat untuk bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/