Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Wednesday, May 30, 2018

Penutupan Demak: Apakah Yang Sebenarnya Telah Terjadi Kepada Pembina Motosikal Malaysia Ini?

  • Demak Motorcycles merupakan sebuah pembina motosikal yang berpotensi, mengkhususkan pada pengeluaran motosikal murah dengan kelengkapan yang datang dari China.
  • Ia telah beroperasi sejak tahun 2002 dengan kilangnya di Kuching, Sarawak, dan kemudiannya sebuah lgi kilang yang memulakan operasi di Banting, Selangor.
  • Ia juga mempunyai sebuah kilang di Sri Lanka.
  • Demak juga turut mempunyai kadar komsiyen paling lumayan buat pengedarnya.
  • Jadi, apakah yang telah terjadi kepada pembina motosikal Malaysia yang berpotensi ini?
Setahun yang lalu, Demak telah menjemput kami untuk menghadiri majlis pelancaran model-model terkini mereka, dan termasuk juga beberapa buah kenderaan komersial di kilang baru mereka di Banting. Setahun lalu, segala-galanya tampak memberangsangkan buat syarikat berkenaan dengan beberapa ratus orang menghadiri acara pelancaran tersebut, yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Baca dengan lebih lanjut mengenainya DI SINI. Namun, genap satu tahun kemudian, nasib syarikat pengeluar ini telah berubah sama sekali. Gambar-gambar telah tersebar di dalam aplikasi WhatsApp, menunjukkan papan tanda rasmi di pintu masuk kilang syarikat tersebut disimbah dengan cat merah. Dari sudut pandangan warga Malaysia, tindakan ini selalunya bermakna yang individu atau syarikat itu berhadapan dengan sesuatu masalah. Lebih tepat lagi dari segi kewangan, namun kami di sini tidak mahu membuat sebarang spekulasi tambahan, cukup sekadar di sini sahaja. Begitu banyak yang telah diwar-warkan mengenai apa yang berlaku di Demak, dan pada waktu ini semuanya adalah sekadar spekulasi, seperti mana artikel ini. Kita tidak akan tahu keadaan sebenarnya kecualilah sekiranya ada orang dalam yang mendedahkan atau pun dikeluarkan satu laporan rasmi yang menerangkan segalanya. Atas dasar kewartawanan, kami telah membuat beberapa panggilan telefon, bercakap dengan beberapa orang bekas pekerja, dan juga telah melawat kilang yang berada di Banting serta pusat perkhidmatan di Batu Caves bagi melihatnya dengan anak mata kami sendiri. Dan ya, malangnya, Demak, pembuat motosikal dengan harga berpatutan bagi mereka yang amat-amat memerlukan ini akan ditutup. Gambar notis di bawah ini juga telah ditampal pada pusat perkhidmatan di Batu Caves. Jadi, apakah yang telah terjadi? Terdapat begitu banyak khabar angin yang telah tersebar, yang pada waktu ini masih tidak boleh disahkan. Namun, hati-hati dengan apa yang ada ingin percayai, kerana rakan kami di Mekanika telah mengesahkan yang khabar angin seperti saman Boon Siew Honda, kerugian, dan juga campur tangan politik, semuanya tidak benar. Anda boleh baca laporan mereka DI SINI. Setelah berjaya bersembang dengan beberapa bekas pekerja syarikat berkenaan, kami dapati yang Demak tidak mampu menampung kos operasi perniagaan mereka. Dari dahulu lagi Demak telah bermain faktor harga motosikal mereka, di mana sebahagian daripada model mereka boleh dibeli dengan harga serendah sekitar RM3,000. Namun, bagi menampung model perniagaan yang bermain harga ini, mereka perlu menjualnya dalam jumlah yang banyak, apa yang digelar sebagai 'economies of scale'. Dan walaupun Demak telah mengeksport sebahagian daripada produk mereka ke negara seperti Sri Lanka, mereka tidak mampu menjual jumlah yang diperlui bagi menampung model perniagaan tersebut. Selain itu, Demak juga dikatakan telah menawarkan di antara kadar komisyen yang tertinggi pada pengedar. Diketahui umum bahawa para pengeluar dan pengedar motosikal di Malaysia amat bergantung kepada wakil-wakil pengedar. Wakil-wakil pengedar ini mempunyai persatuan yang dianggotai oleh lebih daripada 5,000 orang ahli, dan sekiranya persatuan ini berkata yang ianya tidak akan menyokong sesuatu jenama itu, pengeluar motosikal tersebut sudah pasti tidak dapat bertahan di Malaysia. Jadi, apabila anda jual produk anda pada harga yang amat rendah dan pada masa yang sama membayar komisyen yang lumayan pada wakil pengedar untuk menjual produk anda, apa yang tinggal? Stau jumlah yang amat kecil sahaja. Dan itulah yang dikatakan telah terjadi kepada Demak. Syarikat ini dikatakan telah mengalami kerugian dari motosikal yang telah mereka jual. Dan apabila mereka cuba membuat rundingan semula struktur komisyennya, persatuan wakil pengedar itu telah MENOLAK DENGAN SAMA SEKALI. Kilangnya di Banting itu cukup besar sekali, seluas 260,000 kaki per segi. Ianya sebuah fasiliti yang ultra moden yang telah dilaburkan oleh Demak setelah mereka menyedari satu-satunya cara untuk memastikan mereka meneruskan perniagaan adalah dengan meningkatkan kadar pengeluaran mereka. Kilang tersebut mampu mengeluarkan sehingga 200,000 buah motosikal setahun. Ini adalah kilang kedua mereka, yang pertamanya berada di Kuching, Sarawak. Walaupun begitu, laporan telah menyatakan yang Demak hanya berjaya memperoleh jumlah jualan sekitar 3,500 - 4,500 sebulan, atau kira-kira 54,000 buah motosikal setahun. Ada juga ura-ura yang mengatakan pengeluar ini pada waktu itu cuba mengubah nasib mereka dengan melabur dalam pengedaran jenama motosikal Itali terkemuka, MV Agusta. Namun kini, ianya tidak membuahkan hasil, dan pengedaran MV Agusta kini berada dalam keadaan tidak menentu kerana ibu syarikatnya telah ditutup. Namun kami tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga kami dapat maklumat tambahan. Selain itu, mereka juga ada sebuah lagi kilang di Sri Lanka, tetapi, disebabkan peraturan tempatan yang memerlukan kelengkapan-kelengkapannya dihantar ke Malaysia sebelum ke Sri Lanka, dan dengan itu meningkatkan kosnya, operasinya itu juga telah dihentikan. Belum benar-benar jelas lagi apa yang telah terjadi pada Demak dan kami akan membawa lebih banyak maklumat sekiranya ada sebarang perkembangan selanjutnya. Buat masa ini, ianya adalah penghujung jalan bagi syarikat yang mempunyai potensi yang besar ini. Pujian perlu diberikan pada tempatnya dan kami menghormati keberanian mereka berusaha dengan tekun walaupun dengan rintangan yang besar di hadapan mereka. Sewaktu lawatan kami baru-baru ini, kami menyedari terdapat ratusan motosikal yang tersusun di kompaun kilang mereka itu. Agak-agaknya apakah nasib motosikal-motosikal tersebut.  

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/