Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Friday, May 18, 2018

MotoGP: Aleix Espargaro Kekal Dengan Aprilia Hingga Tahun 2020

  • Aleix Espargaro telah mengesahkan bahawa dia akan kekal bersama pasukan Aprilia Racing Team Gresini untuk dua musim yang akan datang.
  • Satu kontrak dua tahun yang baru telah ditandatangani menandakan penunggang kelahiran Sepanyol itu akan terus mengemudi Aprilia RS-GP sehingga hujung musim 2020.
  • Tiada sebarang berita mengenai siapakah yang bakal menjadi penunggang kedua Aprilia.
Sebelum bermulanya hujung minggu HJC Helmets Grand Prix de France 2018, Aleix Espargaro telah mengesahkan pelanjutan kontraknya dengan pasukan Aprilia Racing Team Gresini untuk dua musim lagi. Ini bermakna bahawa penunggang berusia 28 tahun dari Sepanyol itu akan mengemudi jentera Aprilia RS-GP sehingga penghujung musim 2020. Ianya bukanlah satu kejutan memandangkan betapa pantasnya perkembangan projek MotoGP Aprilia RS-GP sejak kemunculan semula pengeluar ini beberapa tahun yang lalu. Aleix telah mengecapi beberapa buah catatan masa yang membanggakan di atas jentera MotoGP tersebut dan akan meneruskan tugasnya bagi memperbangunkan lagi motosikal berkenaan untuk menjadi sebuah jentera yang amat berdaya saing dalam masa beberapa tahun yang akan datang. Menurut Aleix Espargaro, "Saya berasa amat gembira dapat kekal bersama Aprilia untuk dua tahun lagi. Buat kali pertamanya dalam kerjaya saya, saya memperolehi kestabilan dan ianya amat penting bagi berkembang dan membangun bersama. Saya ada satu sahaja objektif, matlamat dan ianya adalah untuk membawa jentera RS-GP menaiki podium. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aprilia dan ke semua ahli pasukan saya. Kami akan terus berusaha sebanyak 100% sehingga tahun 2020. Romano Albesiano, Pengurus Aprilia Racing pula berkata," Pembaharuan kontrak ini pertama sekali merupakan tanda perakuan kami terhadap kualiti yang dimiliki Aleix. Dia seorang penunggang yang pantas dan bersikap amat professional. Dari waktu dia mula tiba, dia telah pun membawa semangat dan motivasi ke garaj dengan kesan yang positif ke atas keseluruhan pasukan." "Sumbangannya terhadap pembangunan jentera RS-GP tidak dapat dinafikan dan saya yakin bahawa dua tahun yang berikutnya akan membolehkan kami memperoleh keputusan yang penting dan, lebih daripada itu, ianya akan membolehkan kami untuk, melibatkan, mengujakan, dan mengilhamkan warga muda dan ramai peminat Aprilia di seluruh dunia. Petandanya sudah jelas sekali, jadi, dengan memberikan projek teknikal ini satu kesinambungan dengan seorang penunggang yang mengetahui selok belok pasukan dan motosikal dengan intim sekali membolehkan kami untuk merancang pembangunan dalam cara yang terbaik dengan penekanan terhadap masa depan," tambah Albesiano. Sesi kelayakan bagi pusingan MotoGP Perancis 2018 akan bermula esok (Sabtu, 19 Mei 2018) dari jam 6.35 petang, manakal perlumbaannya akan bermula pada hari Ahad, bermula jam 5 petang (waktu tempatan). https://motomalaya.net/blog/2018/05/18/mv-agusta-kembali-ke-motogp/

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/