Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Wednesday, March 21, 2018

Tiada Pembeli Bagi Motosikal Yang Jarang Dijumpai Lamborghini Design 90

  • Motosikal Lamborghini Design 90 telah diperkenalkan pada tahun 1986.
  • Lamborghini ingin mempelbagaikan portfolio mereka pada waktu itu.
  • Salah sebuah daripada motosikal ini telah dilelong di England baru-baru ini.
Namanya sahaja - Lamborghini - pasti akan membangkitkan gambaran sebuah kereta yang berupa bentuk garis lurus yang tajam dan licik, bak seekor jerung, dan dijana oleh enjin yang melampau serta dengan harga yang sudah semestinya sama melampaunya. Produk mewah keluaran Itali itu mengusik emosi pemilik dan penggemarnya, didorong oleh semangat berahi yang cukup sebati dengan jiwa warga Itali, yang meletakkan kecantikan sesuatu binaan di tempat teratas. Pada masa ini, mereka berada di bawah pengurusan yang baik, semenjak dimiliki jenama Audi, yang juga turut memiliki jenama Ducati. Setakat ini, mereka telah memperkenalkan satu demi satu kereta yang telah mendapat sambutan hangat, bukan hanya kerana rupa paras atau prestasinya sahaja, tetapi dengan memahami apa yang dimahukan pengguna, dan ini termasuklah dengan kenderaan SUV mereka yang baru sahaja dilancarkan, Lamborghini Urus. Langit mereka tidaklah sentiasa secerah sekarang; Lamborghini pernah berhadapan dengan kemuflisan. Jenama Lamborghini pernah dimiliki oleh Volkswagen pada tahun 80-an, dan mereka berhadapan dengan masalah yang cukup berat, sehinggakan pengasasnya, Ferruccio Lamborghini, telah dipaksa keluar dari syarikat tersebut. Lamborghini kemudiannya telah dijual kepada Mimran Brothers. Dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan jenama tersebut, mereka telah membina enjin V-12 gergasi untuk kegunaan perlumbaan 'offshore powerboat'. Ferruccio sendiri telah melengkapkan bot Riva Aquarama miliknya dengan enjin V-12, 4-liter pada tahun 1969. Lamborghini muncul dengan sebuah enjin V-12, 7974cc yang menghasilkan 720hp. Bot perlumbaan telah dilengkapkan dengan dua buah enjin ini untuk jumlah keseluruhannya, 1440hp. Versi 9336cc, 630hp juga telah dibangunkan untuk bot kegunaan riadah. Selain daripada itu, Lamborghini juga telah membina sebuah kenderaan SUV yang dinamakan LM002, dijana oleh enjin V-12 Countach. Tidak cukup dengan itu, Patrick Mimran juga telah memutuskan yang Lamborghini juga perlu membina motosikal. Projek ini telah ditugaskan kepada sebuah pembuat motosikal butik dari Perancis, Boxer (kini dikenali sebagai Boxer Design), dan dinamakan "Design 90". Syarikat Boxer itu telah ditugaskan untuk merekabentuk dan memasang motosikal berkenaan. Mereka telah menggunakan sebuah enjin empat selari 1000cc dan menalanya bagi menghasilkan 120hp. Selain itu, motosikal tersebut telah dilengkapkan dengan kerangka aloi aluminium, roda yang ringan, brek, suspensi, ekzos, dan komponen elektrikal yang berteknologi terkini. Kelengkapan-kelengkapan tersebut adalah teknologi tercanggih bagi motosikal GP pada tahun 1986! Kedua-dua belah pihak merancang pengeluaran yang teramat terhad, sebanyak 25 buah motosikal contoh, namun, hanya enam buah sahaja yang telah dibina. Hampir tiada siapa yang tahu mengenai motosikal ini dan harga $13,500 yang terlalu mahal telah membantutkan projek ini. Pada pandangan kami, rekabentuknya yang terlalu aneh itu juga penyumbang utama terkuburnya projek itu. Melangkah ke hadapan ke tahun 2018, sebuah Lamborghini Design 90 dengan cop BOXERL002 pada kerangkanya telah dilelong di Muzium Motosikal Kebangsaan di England baru-baru ini, di mana ia dijangka mampu mendapat harga di antara $117,700 hingga $124,600. Bidaan dimulakan pada harga $58,800. Malangnya motosikal tersebut tidak dapat mencecah harga simpanannya lalu tidak terjual. Barangkali, jika Lamborghini dan Boxer dapat melengkapkan dengan enjin V-12, ia mungkin akan terjual.  

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/