Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Saturday, March 17, 2018

Pusingan 1 MotoGP 2018: Dovizioso Catatkan Masa Terpantas Bagi FP1 Dan FP2

  • Andrea "Desmo" Dovizioso merupakan penunggang terpantas bagi FP1 dan FP2.
  • Danilo "Petrux" Petrucci adalah penunggang kedua terpantas dengan perbezaaan masa hanya 0.006 saat di belakang Dovizioso.
  • Kejutan terbesar adalah kedudukan penunggang Suzuki di tempat ke-tiga dan ke-lima.
  • Marc Marquez, Dani Pedrosa, Cal Crutchlow dan Valentino Rossi berada di tempat ke-enam, tujuh, lapan, dan sembilan dibezakan hanya 0.001 saat di antara satu sama lain.
  • Tempat pertama hingga ke-14 hanya dibezakan dengan kurang dari satu saat.
Musim MotoGP 2018 bermula dengan pusingan 1 di Qatar Grand Prix, yang diadakan di Litar antarabangsa Losail. Pasukan Ducati sudah pasti gembira dengan prestasi Dovi kerana penunggang dari Itali tersebut gagal mencatatkan masa yang pantas sepanjang ujian pra musim (walaupun dia konsisten dengan catatan masanya), kecuali semasa di Sepang, Malaysia. Dovi nyata terpantas dalam sesi FP1 dengan catatan masa 1:55.366 dan kelajuan purata 167.8km/j dan kelajuan terpantasnya 348.8km/j, sebelum memperbaiki masa untuk memegang rekod catatan masa 1:54.361 dengan kelajuan purata 169.3km/j dan kelajuan terpantasnya, 350.7km/j. Diteruramah oleh Dorna, Dovi berkata, "Ianya amat baik sekali, dan kami telah mengesahkan firasat baik yang dirasai dari waktu ujian lagi, yang mana saya berasa gembira mengenainya. Halajunya cukup baik sekali namun kami perlu menjaga tayar sebaik yang boleh, ianya kunci untuk memenanginya dalam 22 pusingan." Suhu ternyata lebih panas dari biasa di Qatar, di mana perlumbaan ini telah di ke hadapankan bagi memberi ruang pada pusingan tambahan di Buriram, Thailand, lewat tahun ini. Suhu persekitaran mencecah 31 darjah Celsius, manakal bagi suhu litarnya pula adalah 39 darjah Celsius sewaktu FP1, sebelum ianya turun kepada 25 darjah Celsius dan 27 darjah Celsius bagi FP2. "Tayar berfungsi dengan baik sekali, seperti mana sewaktu ujian. Saya tidak terlalu risau, namun, dalam setiap perlumbaan, anda perlu teliti kerana terdapat banyak penunggang yang pantas." Tambah Dovizioso lagi. Danilo Petrucci, penunggang bagi pasukan Alma Pramac Racing, adalah berita hangat bagi tahun 2017, hampir merangkul kemenangan pertamanya dalam MotoGP buat beberapa kali sebelum terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua. Prestasinya itu telah menambat hati Ducati hingga mereka telah memberikannya jentera GP18, sama seperti yang dikemudi oleh penunggang bagi pasukan pengilang, Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo. Penunggang yang juga dikenali sebagai "Petrux" ini berada di tempat ke-9 dalam FP1 dengan catatan masa 1:56.265, 0.007 saat di belakang Dovizioso. Dia memperbaiki kedudukannya dalam FP2 dengan catatan masa 1:54.367, dibezakan dengan hanya 0.006 saat. Catatan tersebut turut mengejutkan Petrux sendiri, "Saya tidak jangka yang saya mampu mencatat masa sebegini, tetapi, kami telah berjaya melakukannya dan berasa gembira dengannya." Kejutan yang lebih besar lagi sudah pasti daripada Suzuki. Kedua-dua penunggangnya telah pun menunjukkan prestasi yang menakjubkan sepanjang ujian pra musim dan sekali lagi, Alex Rins telah mendahului teman sepasukannya. Kedudukan ini berbeza sewaktu FP1 di mana Andrea Iannone telah mencatatkan masa ke-empat terpantas dengan catatan 1:55.816, 0.450 saat di belakang Dovizioso, manakala Rins pula di tempat ke-lapan dengan catatan masa 1:59.557, ketinggalan hanya 0.631 di belakang catatan masa terpantas. Rins kemudiannya bertukar tempat dengan teman sepasukannya sewaktu FP2 dengan mencatatkan masa yang pantas, 1:54.458, kini hanya 0.097 saat di belakang Dovizioso, dan 0.373 saat di hadapan seorang lagi penunggang pengilang Ducati, Jorge Lorenzo. Dia telah memperbaiki masanya sebanyak lima saat! Iannone tetap menunjukkan prestasi yang baik pada sesi FP2, dan menempatkan dirinya di tempat ke-lima, dan pada masa yang sama, memperbaiki catatan masanya ke 1:54.841. Lima penunggang teratas telah kita ketahui, di mana pula nama-nama handalan yang lain? Tiga jentera Honda terpantas berada dalam satu kelompok. Juara bertahan serta penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, berjaya mencatatkan masa ke-tiga terpantas sewaktu FP1, namun, mendapati dirinya jatuh ke tempat ke-enam dalam FP2, walaupun telah mencatat masa yang lebih pantas iaitu 1:54.850. Teman sepasukannya, Dani Pedrosa, juga telah berdepan dengan nasib yang sama, mencatatkan masa ke-tujuh terpantas. "Little Samurai" telah mencatatkan masa yang lebih pantas sewaktu FP2, dengan perbezaan masa 0.001 saat di belakang Marc Marquez dengan 1:54.851. Penunggang pasukan LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow berada di tempat ke-lapan setelah mencatatkan masa terpantasnya, 1:54.852 - sekali lagi 0.001 saat di belakang penunggang di hadapannya. Seperti mana kelompok penunggang Honda, begitu jugalah para penunggang Yamaha. Valentino Rossi yang mewakili pasukan pengilang Movistar Yamaha MotoGP mencatat mas kedua terpantas dalam FP1 namun berada di tempat ke-sembilan untuk FP2; catatan masa terpantasnya adalah 1:52.853. 0.059 saat di belakangnya adalah Johann Zarco, yang mengemudi jentera Monster Yamaha Tech3. Penunggang dari Perancis itu masih lagi memegang rekod catatan masa perlumbaan terpantas yang didrekodkan pada tahun lalu, sebelum dia terbabas. Pemenang perlumbaan di Qatar pada tahun lalu, Maverick Viñales berhadapan dengan masalah (yang dikatakan akibat tayarnya), hanya mampu berada di tempat ke-11 terpantas bagi kedua-dua sesi. Dia berjaya memperbaiki catatan masanya sewaktu FP2 dengan catatan 1:55.195 - 0.854 saat di belakang Dovi dan 0.283 saat di belakang Zarco. Bagi menggambarkan betapa kompetitifnya catatan masa sewaktu FP2, masa terpantas (Dovi), hingga ke-14 terpantas (Jack "Jackass" Miller) hanya dibezakan kurang daripada satu saat. Para penunggang rookie MotoGP telah mengisi posisi ke-15 hingga 24, dketuai oleh Takaaki Nakagami. Wira negara kita, Hafizh Syahrin, serta teman sepasukannya yang baru, Johann Zarco, menunggang dengan baik dalam FP1 untuk berada di tempat ke-15 terpantas dengan catatan masa 1:56.544, 1.178 saat di belakang Dovi. Ianya satu pencapaian yang membanggakan kerana dia secara konsistennya berada 2 saat di belakang masa terpantas dalam dua ujian pertamanya di Buriram dan Qatar. Dia telah memperbaiki masanya dalam FP2 dengan catatan masa 1:56.454 dan berada di tempat ke-22. Pengkritik pasti mengatakan yang kemajuannya tidaklah ketara, namun, Hafizh kekal konsisten dengan catatan masanya pada masa dia mengurai rahsia jentera dan kelengkapannya. Tanpa tidak menjadi terlalu teknikal, kita boleh katakan yang FP1 adalah sesi penyesuaian untuk penunggang dan pasukan, seperti yang telah digambarkan dengan catatan masa yang 'haru-biru'. Catatannya itu digabungkan dari FP1, FP2, dan FP3; bermakna catatan masa terpantas dari mana-mana satu sesi tersebut akan digunakan bagi menentukan tempat dalam pusingan kelayakan akhir. Oleh itu, para penunggang dan pasukan perlulah menunjukkan prestasi terbaik mereka untuk melayakkan diri dalam 10 Teratas untuk memasuki Q2 secara automatik, kerana catatan masa ke-11 hingga 24 terpantas perlu melalui Q1 bagi menentukan tempat ke-13 hingga 24 di atas grid sewaktu perlumbaan. Dua penunggang terpantas untuk Q1 akan menyertai Q2 di mana catatan masa akan menentukan posisi grid dari tempat pertama hingga ke-12. Oleh kerana mereka perlu melalui Q1 bermakna penunggang ke-11 dan 12 terpantas akan menggunakan satu set tayar yang lebih, dan kerana itu, ada ura-ura yang Dorna akan memperuntukkan satu set tayar tambahan bagi kedua-dua penunggang tersebut. Tetapi ia juga bermakna yang jentera mereka terpaksa melalui seksaan tambahan. Q1 akan bermula pada jam 12.20 tengah malam, diikuti dengan Q2 pada jam 12.45 tengah malam (waktu tempatan). Jadi, bersiap sedialah tuan-tuan dan puan-puan. MotoGP musim 2018 bakal bermula! Sumber imej: MotoGP

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/