Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Thursday, March 22, 2018

MotoGP: Johann Zarco Bakal Menyertai Repsol Honda?

  • Pusingan MotoGP Qatar menyaksikan satu perlumbaan yang amat menarik sekali beserta dengan desas-desus yang mengatakan Johann Zarco mungkin akan berpindah ke pasukan Repsol Honda pada tahun hadapan.
  • Penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3 itu menduduki Petak Pertama dan mendahului majoriti perlumbaan sebelam jatuh ke tempat ke-lapan akibat masalah tayar.
  • Khabar angin telah mengandaikan yang Zarco mungkin akan menggantikan tempat Pedrosa pada tahun 2019.
Sesudah tamatnya pusingan MotoGP yang pertama bagi musim 2018 di mana Andrea Dovizioso (Ducati Team) telah memenangi GP Qatar tersebut dengan penuh bergaya dan diekori rapat oleh Marc Marquez dari Repsol Honda, terdapat beberapa berita hangat yang telah tersebar di paddock perlumbaan. Berita yang ingin kami sampaikan kali ini berkaitan dengan seorang penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco. Setelah sekali lagi menunjukkan kebolehannya dengan memulakan perlumbaan di Petak Pertama dan mendahului perlumbaan tersebut sehingga suku terakhir perlumbaan (sebelum jatuh ke tempat ke-lapan akibat masalah tayar), ramai telah mula bertanyakan tentang masa hadapannya dalam MotoGP dan kemungkinan dia berpindah ke pasukan Repsol Honda. Gossip-gossip panas telah mengandaikan bahawa Dani Pedrosa mungkin perlu memberi ruang untuk penunggang muda dari Perancis ini yang mana akan menjadikannya teman sepasukan baru Marquez. Sewaktu diajukan mengenai khabar angin ini, Zarco telah menyatakan "Pasti seronok sekali dapat menjadi teman sepasukan Zarco. Repsol Honda bagaikan satu pasukan impian.Sejak saya menonton MotoGP sebagai seorang kanak-kanak di kaca TV, walaupun saya tidak menontonnya dengan kerap, saya masih ingat lagi pada Mick Doohan, dan kemudiannya Rossi.... kini Marquez. Saya sentiasa berasa seronok menyaksikan pasukan ini." "Saya perlu bersabar dan mengendalikan hal ini dengan tenang. Saya rasa saya akan tunggu dan lihat dahulu untuk tiga perlumbaan pertama, baru saya akan tahu dengan lebih lanjut. Prestasi jentera akan menjadi faktor yang penting dalam membuat keputusan, namun, saya masih perlu tunggu dan lihat apakah kemungkinan lain yang ada. Ujian telah berjalan dengan lancar tetapi perlumbaan akan menjadi faktor penentu," tambah Zarco lagi. Zarco dianggap ramai sebagai penunggang Yamaha terbaik, walaupun dengan jentera Yamaha M1 yang lebih tua. Dengan pengumuman bahawa pasukan Tech3 akan bekerjasama dengan KTM pada tahun hadapan dan Valentino Rossi menandatangani perjanjian dua tahun yang baru dengan Movistar Yamaha, tidak menghairankan jika Zarco membuat perpindahan tersebut. Terdapat juga khabar angin yang mengatakan Yamaha akan menawarkan Zarco jentera Yamaha M1 terkini untuk tahun hadapan. Ini juga bermakna pada tahun 2019 nanti, akan ada sebuah pasukan satelit Yamaha yang baru dan Zarco mungkin sekali akan mendapat tawaran yang sama seperti Cal Crutchlow dengan HRC dan Danilo Petrucci dengan Ducati yang mengemudi jentera yang sama seperti penunggang pasukan pengilang. Walau apa pun jua kesudahannya, kita akan hanya dapat mengesahkannya menjelang pertengahan musim ini. Persoalannya, adakah anda rasa Johann Zarco nampak segak dalam sut perlumbaan berwarna jingga? Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya. Sumber: MotoGP https://motomalaya.net/blog/2018/03/19/grand-prix-qatar-2018-dovizioso-memenangi-pertarungan-motogp-yang-mendebarkan/

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/