Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Sunday, March 18, 2018

Grand Prix Qatar 2018: Zarco Pecahkan Rekod Sedekad Bagi Mendapatkan Petak Pertama

  • Johann Zarco berjaya memperoleh Petak Pertama bagi Grand Prix Qatar 2018.
  • Dia, Marc Marquez, bersama dengan Danilo Petrucci berjaya memecah rekod catatan masa terdahulu untuk berada di kedudukan 3 Teratas.
  • Rekod sebelum ini telah bertahan selama sepuluh tahun.
Kami telah menjangkakan sesi kelayakan akhir Q2 Grand Prix Qatar 2018 yang mengujakan, tetapi, kami tidak menjangkakan yang ianya sehebat ini! Dan ini baru hanya pusingan MotoGP yang pertama bagi musim ini. Kemuncaknya bermula pada dua minit terakhir sesi tersebut di mana Jorge Lorenzo memasuki litar. Dia telah mencatatkan masa terpantas dalam tiga sektor pertama, namun, entah mengapa, telah ketinggalan dan mencatatkan masa ke-empat terpantas, memperbaiki kedudukannya yang berada di tempat ke-sembilan sebelum ini. Lorenzo telah berdepan dengan hujung minggu yang sukar dan telah dilihat berkali-kali menghentakkan kakinya di pit Ducati. Tetapi aksi sebenarnya bermula dengan penunggang yang menyusurinya di mana Zarco, Marquez, Rins, Petrucci, dan Rossi bersaing rapat bagi mencuri kelebihan dengan 'menyucuk angin' pencabar masing-masing. Zarco berjaya menjarakkan diri dari kelompok tersebut dan mencatat masa 0.382 saat lebih pantas berbanding masa terbaiknya sebelum ini apabila dia melepasi Sektor 3. Pada masa yang sama, Marquez, tersekat di belakang Alex Rins dan Danilo Petrucci, yang berada agak belakang dari kelompok itu juga berjaya mencatat masa 0.300 lebih pantas dari waktu terdahulu. Pengulas TV tidak dapat mengawal keterujaan mereka apabila Zarco melintasi garisan dengan catatan masa 1'53.680", memecahkan rekod catatan masa kelayakan terpantas 1'53.927" yang dipegang oleh Jorge Lorenzo sejak tahun 2008 sewaktu dia bersama Yamaha, pada zaman Michelin membekalkan tayar kelayakan jenis 'supersoft' yang hanya sesuai digunakan sebanyak dua pusingan. Marquez berjaya memintas Rins dan mencatatkan masa kedua terpantas, 0.202 saat di belakang dengan catatan 1'59.882", manakala Petrucci mencatatkan masa terpantasnya, 1'59.887", hanya 0.005 saat di belakang Marquez. Ya, ketiga-tiga penunggang terpantas telah memecahkan rekod Lorenzo. Cal Crutchlow menunggang tanpa sebarang gangguan trafik dan memperoleh masa ke-empat terpantas, 0.392 saat di belakang Zarco dengan catatan 1'54.072". Bagaimana pula dengan Andrea Dovizioso yang telah mendahului dari Q2? Dia telah memperbaiki catatan masa Q2-nya, mencatatkan masa 1'54.074" namun dengan catatan masa yang amat pantas telah direkodkan oleh empat penunggang terpantas itu bermakna dia akan bermula dari P5. Senario yang sama juga terjadi Alex Rins, yang telah mencatatkan masa ketiga terpantas di sepanjang sesi latihan hinggalah ke FP4. Dia mendapati dirinya terkandas di belakang trafik yang lebih perlahan di bahagian awal sesi dan kemudiannya diekori rapat oleh Marquez pada penghujung sesi, memaksanya untuk menunggang secara defensif, menamatkan Q2 di tempat ke-enam. Hujung minggu ini adalah hujung minggu yang agak tenang bagi Dani Pedrosa, melayakkan diri di atas grid perlumbaan di tempat ke-tujuh. Valentino Rossi telah secara konsistennya mencatatkan masa ke-lapan dan sembilan terpantas dan di situlah dia akan bermula pada perlumbaan kali ini, di P8. Dari keputusan kelayakan ini kita dapat andaikan yang Yamaha masih belum dapat menyelesaikan masalah cengkaman tayar belakang yang membelenggui jentera perlumbaan pengilang mereka. Lorenzo mungkin telah menganggap yang dia sudah pasti akan bermula dari petak ke-empat di atas grid, tetapi telah tersungkur ke petak ke-sembilan pada pusingan yang berikutnya. Jack Miller telah berjaya menyertai Q2 setelah mencatatkan masa terpantas di Q1 tetapi tampak kecewa setelah berada di tempat ke10 dengan catatan masa 1'54.449". Andrea Iannone, yang mengemudi jentera pengilang Suzuki yang kedua, telah bertukar-tukar catatan masa terpantas dengan teman sepasukannya sewaktu permulaan Q2, namun, telah jatuh ke tempat ke-11. Teman sepasukan Rossi dan pemenang Grand Prix Qatar 2017, Maverick Viñales, juga telah sering menyuarakan rungutan mengenai masalah cengkaman tayar belakang, meletakkanya dalam Q1, selepas FP2, menyebabkan pasukannya mengubah imbangan casis motosikalnya bagi meletakkan lebih banyak berat pada tayar belakang. Pengubahsuaian ini telah menampakkan hasil serta merta di mana dia adalah antara penunggang terpantas sewaktu FP4. Dia pada awalnya telah mencatatkan masa terpantas sewaktu Q1 namun telah dipintas oleh Miller pada penghujungnya. Viñales berada di tempat ke-12 dengan catatan masa 1'54.707" Zarco beremosi sewaktu ditemuramah setelah mencatat rekod masa terpantasnya itu. Dan bagaikan tiada penghujungnya bagi saga di pasukan Monster Yamaha Tech3, khabar angin telah mula bertiup mengatakan bahawa Honda sedang cuba mendapatkannya bagi menggantikan Dani Pedrosa, yang telah bersama pasukan tersebut sejak 2006 lagi. Terdapat juga desas-desus yang mengatakan dia mungkin bakal menyertai pasukan pengilang KTM. Zarco adalah calon utama bagi menggantikan tempat Rossi di pasukan pengilang Yamaha sekiranya legenda perlumbaan tersebut memutuskan untuk bersara, namun, Rossi telah mengumumkan pembaharuan kontraknya selama dua tahun. Zarco juga tela terbabas sewaktu FP4 dan bernasib baik tidak mengalami kecederaan teruk. Ia juga berita baik buat peminat di Malaysia, kerana Hafizh Syahrin telah mengejutkan ramai dengan tempat di atas gridnya di P15 dalam pusingan kelayakan MotoGP-nya yang pertama, hanya satu petak di belakang Franco Morbidelli, sebagai penunggang rookie kedua terpantas. Sekiranya sesi kelayakannya mengujakan seperti ini, siapa tahu betapa hebat perlumbaannya pada tengah malam ini. Dan ini baru hanya pusingan pertama MotoGP musim 2018. Sumber imej: MotoGP

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/