Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Tuesday, July 4, 2017

Diuji: Modenas Pulsar RS200 & NS200 2017 - "The Dynamic Duo"

  • Dilancarkan pada bulan Mei 2017 yang lalu, Modenas telah memperkenalkan dua motosikal terbaru bagi pasaran Malaysia dengan model Modenas Pulsar RS200 dan NS200 2017 yang cukup menyeronokkan.
  • Pada masa ia dilancarkan, model NS200 dianggap sebagai versi motosikal naked bagi RS200 namun perbezaan antara keduanya bak langit dan bumi.
  • Kami telah menunggang uji kedua-dua motosikal ini dalam dua pengalaman menunggang dan lokasi yang berbeza dan kedua-duanya menawarkan pakej yang hebat pada harga yang berpatutan yang sudah pasti menjadikannya hangat di pasaran Malaysia ini.
Dilancarkan pada bulan Mei 2017 yang lalu, Modenas bersama dengan Bajaj Auto Limited telah menjalinkan usahasama yang tampak seperti gabungan muktamad untuk mengambil alih majoriti pegangan pasaran di Malaysia. Walaupun terdapat banyak model motosikal yang boleh dipilih Modenas untuk tujuan penjenamaan semula di negara kita ini, mereka telah membuat pilihan yang menarik dengan memilih model Pulsar RS200 dan NS200. Ketika hari pelancarannya itu, kami amat teruja kerana mendapat tahu yang Modenas sudah sedia maklum mengenai tawaran yang ada dalam pasaran dua-roda dan selok-beloknya. Dengan adanya jurang yang jelas dalam kategori motosikal lumba berkapasiti kecil dan motosikal naked, ianya satu langkah yang wajar dan bijak sekali untuk menawarkan kedua-dua model ini untuk memenuhi keinginan rakyat Malaysia tanpa perlu mereka berbelanja sejumlah besar wang. Kami telah mendapat peluang untuk menguji kedua-dua motosikal ini pada masa yang sama dan sejujurnya, kami cukup terhibur dengan prestasi kedua-dua motosikal Pulsar ini, terutamanya model RS200. Pertama sekali, kami akui bahawa kami telah diberi maklumat yang kurang tepat apabila kami katakan yang NS200 ini versi motosikal naked bagi motosikal lumba RS200 kerana perbezaannya bagaikan langit dan bumi. Zahirnya, kedua-dua motosikal ini agak serupa dari segi enjinnya yang merupakan penjana kuasa terkini dari Bajaj 200cc, DTS-i, SOHC, empat lejang, suntikan bahanapi dengan teknologi tiga palam pencucuh untuk pembakaran optimum dan prestasi memberangsangkan di keseluruhan jangkauan rpm. https://youtu.be/G1Bo-UxeKH8 Mampu menghasilkan sehingga 21.5hp pada 9,750rpm dan 18.6Nm tork pada 8,000rpm, enjin pada kedua-dua RS200 dan NS200 ini mampu menggerakkan motosikal ke kelajuan maksimum sehingga 153km/j (berdasarkan video penuh misteri yang telah kami paparkan sebelum ini) sebelum enjin ini mencapai had rpm-nya dan dihadang (untuk tujuan keselamatan dan mengelakkan bencana). https://youtu.be/K_85Rnyh4sA Kedua-dua motosikal RS200 dan NS200 ini mempunyai pakej suspensi yang sama dengan fork hadapan teleskopik dan 'bush' anti-geseran di bahagian hadapannya dan penyerap hentakan mono Nitrox dengan tabung yang mengawal bahagian belakangnya. Kami agak terkesima dengan kebolehan pakej suspensi ini yang menjalankan tugas mereka dengan baik walaupun pada kelajuan yang tinggi. Kedua-dua motosikal ini menawarkan pengalaman menunggang yang stabil namun motosikal NS200 terasa agak berayun, memandangkan posisi menunggangnya yang lebih tinggi sedikit dan tiadanya perlindungan dari rintangan angin, tidak seperti RS200 dengan reraup hadapanya yang cukup agresif. Setakat ini, enjin serta suspensinya sama, namun persamaan itu terhenti di sini sahaja. Dilihat pada penggayaannya, RS200 ini mempunyai reraup 'sporty' yang amat garang rupanya yang kami pasti akan menarik minat ramai penunggang di Malaysia. Reraupnya juga mewujudkan aerodinamik yang hebat dan bersiar dengannya di atas lebuhraya terasa bagaikan di awang-awangan. Dibandingkan dengan motosikal naked NS200 yang mempunyai badan yang lebar sedikit berbandingnya dan tiada reraup, penunggang akan merasakan kuasa penuh angin apabila menunggangnya pada kelajuan yang tinggi. Berdasarkan fakta ini, kami merasakan yang NS200 ini lebih sesuai untuk penunggangan di dalam bandar manakal RS200 pula mampu beraksi dengan baik untuk kembara jarak jauh. Ketinggian pelananya yang tinggi sedikit pada NS200 ini juga memberikannya kedudukan yang lebih agresif dan pada masa yang sama menawarkan keupayaan mengendali yang hebat apabila mengharungi kesesakan trafik di bandaraya. Model RS200 lebih sesuai untuk jalan yang bersimpang siur yang sering dilalui oleh penunggang ketika sesi tunggangan hujung minggu ke Lemang To'ki. Kedua-duanya juga didatangkan dengan panel meter yang sama yang menunjukkan maklumat penting motosikal seperti tachometer analog, speedometer digital dan jumlah bahanapi bersama dengan penunjuk aras lain seperti kedudukan gear neutral dan had rpm atau lampu pengubah. Satu sahaja kekurangan yang terdapat pada panel meter ini adalah ia tidak menunjukkan kedudukan gear jadi kebanyakan penunggang pasti akan tercari-cari 'gear ketujuh' yang ghaib yang sudah pasti melucukan lebih daripada sekali. Satu lagi perbezaan yang ketara di antara kedua-dua motosikal ini adalah ABS (Anti-lock Braking System). Model RS200 didatangkan dengan ABS satu saluran yang berfungsi bersama dengan cakera brek hadapan 300mm-nya. Model NS200 pula tidak menawarkan ABS kerana ianya didatangkan dengan satu cakera brek hadapan 280mm yang beroperasi secara hidraulik. Kedua-dua motosikal ini dilengkapi dengan aturcara brek belakang yang sama iaitu cakera brek 230mm. Dengan jelas sekali, menghentikan RS200 terasa lebih stabil jika dibandingkan dengan NS200. ABS hadapan satu saluran menjalankan tugasnya dengan baik bagi memberikan kestabilan pembrekan namun memodulasi tekanan brek belakang masih memerlukan sedikit latihan kerana tiadanya ABS yang dilengkapkan pada bahagian belakang. NS200 mampu berhenti dengan baik sekali, namun tanpa bantuan ABS, penggunaan dengan cermat diperlukan bagi menghindari terkuncinya tayar. Kami berjaya menunggang kedua-dua motosikal ini sehingga ke Kuala Kubu Baru dan di sini kami dapat katakan bahawa kedua-dua motosikal ini menawarkan sesuatu yang agak berbeza antara satu sama lain tetapi model RS200 ternyata pilihan yang lebih baik dengan kelengkapan yang lebih baik sedikit berbanding NS200 serta penggayaan 'big bike'-nya yang menarik. Motosikal NS200 juga memberikan pakej penunggangan keseluruhan yang bagus dan ianya lebih sesuai untuk pada kelajuan yang lebih rendah dan kebolehan pengendalian yang hebat di kawasan yang sesak. Jika dilihat pada kedua-dua motosikal ini, tanggapan ramai pasti meletakkan harganya pada jangkauan melebihi RM15,000. Tetapi Modenas sekali lagi telah mengejutkan semua orang apabila mereka mengumumkan bahawa RS200 ini dinilai pada hanya RM11,342 dan NS200 pula pada harga yang lebih rendah iaitu hanya RM9,222 (asas beserta GST). Jumlah harga yang amat berpatutan ini merupakan penarik minat utama, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia permotosikalan. Secara keseluruhannya, kami tanggap yang Modenas Pulsar RS200 dan NS200 2017 ini sebagai sebuah pakej yang cukup hebat sekali untuk pengalaman penunggangan yang menakjubkan yang disediakan pada harga yang sukar dipercayai. Kami sejujurnya lebih menggemari RS200 dengan reraupnya yang 'sporty' itu lengkap dengan lampu nyalaan siang (Daytime-Running Light - DRL), ABS satu saluran dan juga rekaan yang hebat namun pada masa yang sama NS200 juga cukup bagus, lebih-lebih untuk menyusur di celah-celah trafik bandaraya. Walau apapun pilihan anda di antara kedua-dua motosikal ini, sudah pasti anda sudah pun membuat pilihan yang tepat sekali kerana memilihnya. TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelancaran Modenas Pulsar RS200 dan NS200 2017. [gallery columns="5" ids="30865,30866,30867,30868,30869,30870,30871,30872,30873,30874,30875,30876,30877,30878,30879,30880,30881,30882,30883,30884,30885,30886,30887,30888,30889,30890,30891,30892,30893,30894,30895,30896,30897,30898,30899,30900,30901,30902,30903,30904,30905,30906,30907,30908,30909,30910,30911,30912,30913,30914,30915,30916,30917,30918,30919,30920,30921,30922,30923,30924,30925,30926,30927,30928"]  

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/