Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Wednesday, June 14, 2017

Diuji: Kawasaki Z650 ABS vs Kawasaki ER6N

Kawasaki Z650 ABS adalah sebuah pengganti bagi model motosikal naked Kawasaki yang begitu popular, ER6N. Oleh kerana ER6N dianggap sebagai sebuah motosikal yang cukup berkebolehan dan sempurna bagi penunggang yang masih baru lagi dengan motosikal berkapasiti tinggi, Kawasaki perlu melakukan sesuatu yang besar untuk menarik minat orang ramai. https://youtu.be/tzlPDkrNgWA Kami telah mendapatkan kedua-dua motosikal ini untuk edisi khas ini, dan kami akan menguji kedua-dua motosikal ini bagi memastikan sama ada Z650 ABS ini adalah penggantinya selayaknya untuk ER6N yang sudah mencapai taraf ikonik. Seperti yang telah diketahui ramai, Kawasaki Motors Malaysia telah melancarkan rangkaian motosikal baru yang mengujakan untuk pasaran Malaysia pada awal tahun ini dengan Kawasaki 650 ABS, Z650 ABS, Z900 ABS dan Versysy-X 250. Motosikal Ninja 650 ABS, Z650 ABS dan Z900 ABS kesemuanya adalah generasi seterusnya yang akan menggantikan model-model terdahulu ER6F, ER6N, dan Z800. TEKAN SINI untuk membaca dengan lebih lanjut tanggapan pertama kami mengenai Z650 dan Ninja 650 yang baru ini. Dalam edisi khas hari ini, kami akan menyelidik dengan lebih teliti motosikal Z650 ABS yang merupakan pengganti bagi motosikal middleweight permulaan yang cukup popular dan berkebolehan, ER6N. ER6N telah pun berada di pasaran Malaysia untuk suatu ketika dan dianggap sebagai motosikal middleweight yang sempurna bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan motosikal berkapasiti lebih besar. Jadi bagaimanakah Kawasaki menggantikan motosikal yang sudah cukup baik dan menaiktarafnya? Dengan merombak kesemuanya dan memperbaiki setiap aspek motosikal ini. Dalam erti kata mudah, Z650 ABS ini bukan hanya sekadar pengganti tetapi evolusi ke sesuatu yang lebih baik. Kami berpeluang menguji kedua-dua motosikal ini pada minggu yang lalu dan sejujurnya kami boleh katakan yang Z650 ABS ini cukup senang ditunggang disekitar bandar. Pertama sekali, rupa parasnya telah diperbaharui dengan tindakan meletakkan motosikal middleweight 650cc dalam keluarga 'Z'. Ini bermakna yang Z650 ABS terbaru ini mempunyai inspirasi 'sugomi' yang sama dengan garisan yang lancar serta perincian yang garang bagaikan seekor harimau kumbang yang mengendap mangsanya. Setiap satu aspek pada Z650 ABS ini merupakan satu anak tangga di atas berbanding dengan ER6N dari luar dan dalam. Dilengkapi dengan kerangka yang direka semula, sub-rangka dan lenganbuai, Z650 ABS ini lebih ringan kira-kira 20kg berbanding dengan ER6N. Itu satu kelebihan yang besar memandangkan kedua-duanya mempunyai kuasa dan tork yang hampir serupa. Motosikal Z650 ABS ini telah dinaiktarafkan untuk meningkatkan lagi nisbah kuasa-ke-berat bagi memberi keseronokan pada setiap gear dan rpm. Dalam perenggan yang sebelum ini, kami menyatakan yang Z650 ABS ini lebih seronok ditunggang berbanding dengan ER6N. Walaupun kedua-dua motosikal ini mempunyai runut bunyi merdu yang tersendiri, Z650 kedengaran lebih lunak dengan kehadiran instrumen digital yang baru. Z650 ternyata lebih hebat disini apabila Kawasaki membuat keputusan menyertakan penunjuk gear bersama dengan satu perincian yang akan memberitahu anda untuk menukar gear apabila ianya telah mencecah jangkauan rpm yang diingini dengan mengelipkan palang rpmnya. Ergonomik penunggangan juga telah dinaiktaraf bagi disesuaikan dengan majoriti penunggang Malaysia dengan ketinggian tunggangan, pelana, dan kedudukan palang pemegang yang lebih sesuai. Walaupun bagi seseorang dengan ketinggian purata menghampiri enam kaki mungkin terasa ianya agak menyesakkan berbanding dengan ER6N, faktor itu dengan mudah dilupakan apabila Z650 ABS ini dilepaskan untuk beraksi menyusup di jalan-jalan sesak di bandar. Mengharungi segala keadaan penunggangan seperti kesesakan trafik di bandaraya, Z650 ABS ini terasa begitu ringan dan lincah hinggakan anda terasa bagaikan menunggang sebuah motosikal lightweight 250cc dan bukannya motosikal naked 650cc. Tidak sekalipun kami merasakan penat menunggangnya sekitar bandaraya Kuala Lumpur memandangkan yang Z650 ini menawarkan pengalaman menunggang yang amat bersahaja pada kebanyakan masa. Namun begitu, hendaklah berjaga-jaga dengan satu lagi sisinya yang lebih garang sebaik sahaja anda memulas pendikitnya. Motosikal Z650 ini akan mengingatkan anda yang ianya bukanlah hanya sekadar sebuah motosikal yang cantik sahaja. Jika dilihat pada kuasanya, tidak dinafikan yang ER6N mempunyai kuasa kuda yang lebih tinggi sedikit berbanding dengannya, iaitu pada 71hp dan 64Nm tork berbanding dengan 67.2hp dengan 65.7Nm tork yang ada pada Z650 ABS ini. Namun, Z650 telah mengalahkan ER6N dari segi nisbah kuasa-ke-berat dengan enjin yang telah dirombak semula yang bukan sahaja mampu mencapai keluaran kuasa dan tork tertinggi pada rpm yang lebih rendah, tetapi ianya juga memberikan penghantaran kuasa yang lebih linear berbanding dengan ER6N. Hasilnya, Z650 akan mengujakan anda pada mana-mana gear ketika mencapai 3,000rpm dan selanjutnya. Pakej suspensinya juga telah dipertingkatkan lagi pada motosikal naked middleweight terbaru ini dengan penyerap hentakan belakang jenis back-link yang direka semula dan diletakkan secara melintang. Berbanding dengan ER6N yang menggunakan jenis off-set, Z650 ini lebih tangkas dan stabil mengatasi selekoh dan jalan yang bersimpang siur. Dengan skill yang betul dan tayar yang telah dipanaskan secukupnya, merapatkan lutut ke tar di atas Z650 ini terasa lebih mudah dan tidak menakutkan seperti di atas ER6N. Fork hadapan teleskopik juga telah melalui rombakan yang menyesuaikannya dengan tunggangan dalam bandar untuk memberikan penunggang keselesaan yang lebih baik. Ia menjalankan tugasnya dengan baik dan bahagian hadapannya terasa lebih stabil, memberikan keyakinan kepada penunggang. ER6N juga memberikan perasaan yang sama, namun, dengan tambahan berat sebanyak 20kg, anda terpaksa bekerja lebih keras untuk mendapat keputusan yang sama. Salah satu tambahan yang terbesar bagi Z650 yang baru ini adalah ABS (Sistem Pembrekan Anti-kunci / Anti-lock Braking System). Bersama dengan sistem klac 'slip and assist', ianya menjadikan Z650 ini jentera yang lebih baik jika dibandingkan dengan ER6N. Menggunakan brek hadapan tidak memerlukan tenaga yang banyak dan ini memberikan keyakinan tambahan bagi penunggang sekiranya dia perlu berhenti dengan pantas terutamanya apabila penunggang perlu melakukan prosedur pembrekan kecemasan. Mekanisma klac 'slip and assist' juga turut membantu dengan tidak mengunci roda belakang ketika menurunkan gear. Perkara yang sama dapat dilakukan dengan ER6N namun penunggang perlu menggunakan lebih banyak skill dan tenaga fizikal yang hanya dapat diperolehi dengan pengalaman menunggang yang lama. Kami juga telah perasan sesuatu. Untuk memodulasikan brek hadapan ER6N, ia memerlukan lebih tenaga berbanding dengan Z650 sehinggakan penulis terpaksa menggunakan tiga jari berbanding dua ketika di atas Z650 baru ini. Memandangkan ER6N tidak mempunyai ABS, memodulasi brek hadapan dengan sekata dengan 'rev-matching' adalah satu keperluan bagi memastikan yang anda berhenti dengan selamat. Melakukan perkara yang sama di atas Z650 terasa lebih mudah. Selain daripada aspek teknikal, perincian yang terbesar dan paling dialu-alukan pada Z650 ini yang kami rasakan ramai akan hargai adalah penutup kipas radiator baru. Penunggang tidak lagi perlu merasa bahang yang dihasilkan oleh enjin terutamanya ketika berhenti di lampu trafik. Ianya bukan sesuatu yang dihiraukan sebelum ini, namun dengan adanya ia, begitu terasa perbezaannya. Jika anda mendapat peluang, cuba bandingkan perbezaan ketika berada di lampu trafik ketika di atas jentera Z650 dan ER6N dan anda mesti akan faham akan apa yang kami katakan. Keseluruhannya, Z650 ABS adalah motosikal yang lebih baik jika dibandingkan dengan pendahulunya, ER6N. Segala-galanya mengenai Z650 ini lebih baik, pantas, kuat, selamat dan selesa. Dan dengan perbezaan harga hanya sebanyak RM500 sahaja antara kedua-dua motosikal ini, ianya bukanya pilihan yang sukar untuk menamakan Z650 sebagai pemenang untuk perbandingan ini. Dimana kebanyakan pengeluar akan menetapkan harga yang tinggi untuk motosikal dengan begitu banyak perincian hebat sebegini, Kawasaki Motors Malaysia menawarkan Z650 ABS ini pada harga yang amat berpatutan dan mampu milik, iaitu RM35,609 (asas beserta GST). Ianya satu harga yang cukup menggiurkan untuk sebuah motosikal dengan begitu banyak perincian yang hebat dan prestasi mengagumkan. Apa yang pasti, "Let the good times roll" bukan sekadar omong-omong kosong dari Kawasaki, terutamanya dengan Kawasaki Z650 ABS 2017 ini. TEKAN SINI untuk melihat kesemua motosikal Kawasaki di pasaran Malaysia di laman eksklusif Bikes Republic, Bike Buyer's Guide. [gallery columns="5" ids="30049,30048,30047,30046,30045,30044,30043,30042,30041,30040,30039,30038,30037,30036,30035,30034,30033,30032,30031,30030,30029,30028,30027,30026,30025,30024,30023,30022,30021,30020,30019,30018,30017,30016,30015,30014,30013,30012,30011,30010,30009,30008,30007,30006,30005,30004,30003,30002,30001,30000,29999,29998,29997,29996,29995,29994,29993,29992,29991"]  

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/