Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Friday, May 5, 2017

Triumph Motorcycles Malaysia Lancarkan Empat Motosikal Baru Bagi 2017 - Dari RM63,900

  • Triumph Motorcycles Malaysia akhirnya telah membawa masuk empat motosikal baru untuk 2017; Triumph Bonneville Bobber, Street Scrambler, Bonneville T100/T100 Black dan juga yang dinanti-nantikan motosikal roadster Street Triple RS.
  • Keempat-empat motosikal baru dari Triumph ini telah diletakkan harga bermula RM63,900 sehingga RM75,900.
  • Kesemua motosikal terbaru 2017 sedia untuk ditempah di kedai utama Triumph Motorcycles Malaysia di Petaling Jaya dan di pengedar sah seluruh negara.
Triumph Motorcycles Malaysia telah mengesahkan bahawa kesemua empat-empat motosikal baru untuk 2017 telah pun tersedia untuk tontonan dan tempahan di semua pengedar sah Triumph Motorcycle seluruh Malaysia. Keempat-empat motosikal baru ini adalah si jelita Triumph Bonneville Bobber, Street Scrambler, T100 atau T100 Black, dan tidak lupa, Street Triple RS. Selepas pengenalan global jentera-jentera terbaru 2017 Triumph ini, Fast Bikes Sdn Bhd dengan pantasnya telah memastikan motosikal-motosikal ini tiba di tanah air kita.
Triumph Bonneville Bobber
Sebagai pakar motosikal klasik moden, Triumph menggemparkan dunia permotosikalan dan pada masa yang sama telah menjadikan kita gila bayang dengan pengenalan kepada Bobber ini kepada dunia. Jentera yang jelita ini tampak ringkas dan sofistikated. Prinsip minimalistiknya telah memperagakan intipatinya yang kekar, sebagaimana rupa dan gaya sebuah Bobber yang asli sepatutnya, dengan garisannya yang kemas, pelana yang rendah, pelana tunggal, palang lebar yang mendatar, hiasan dan lampu depan yang minimal, tangki yang dibentuk tangan, roda berjejari wayar, dengan roda belakang yang lebar dan paling penting sekali, rupa 'hard tail'nya. Dijana oleh enjin selari berkembar 1,200cc tork tinggi, sama seperti yang terdapat pada Bonneville T120 dan T120 Black, keluaran kuasa maksimumnya ialah 76hp pada 6,100rpm dan 106Nm tork pada 4,000rpm untuk prestasi bahagian rendah yang lebih baik. Enjinnya juga disejuk cecair dan mempunyai suntikan bahanapi elektronik berjujukan berbilang-tahap. Menambahkan lagi kelebihan teknologi dalam motosikal ini, Bobber ini juga diperincikan dengan mod menunggang boleh ubah untuk Road dan Rain, Kawalan Cengkaman, ABS, pak instrumen berbilang fungsi LCD dan juga sistem klac bantuan-tork. Ingin menambah sentuhan tersendiri untuk menjadikan Bobber anda lebih istimewa dan unik? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Dato' Razak Al-Malique Hussain, "Mungkin sekali perkara yang terbaik sekali tentang Bobber baru ini ialah ianya direka dengan pengkhususan di minda, dan terdapat lebih daripada 150 aksesori yang tersedia untuk lebih gaya, keselesaan dan prestasi.   Terdapat empat warna yang ada untuk motosikal Bobber ini; Ironstone (dengan kemasan matte), Morello Red, Stunning Competition Green dengan Frozen Silver, dan juga Jet Black. Triumph Motorcycles Malaysia telah menetapkan harga untuk Bonneville Bobber serba baru ini dari RM74,900 hingga RM75,900 (asas dengan GST).
Triumph Street Scrambler 2017
Sedang mencari satu scrambler yang berbeza? Triumph Street Scrambler adalah jawapannya. Berasaskan enjin selari berkembar 900cc Street Twin terbaru dengan sejukan cecair, Street Scrambler terbaru ini menjana 54hp pada 6,000rpm dan 80Nm tork pada 2,850rpm. Kerangka keluli pipa ayun yang unik dengan lenganbuai pipa berkembar sisi dilengkapkan dengan fork depan 41mm dan penyerap berkembar di belakang. Daya hentinya datang dalam pakej keseluruhan angkup terapung dwi-omboh Nissin di hadapan dengan cakera 310mm dan cakera brek 255mm di belakangnya. Terasa seperti ingin ber'off-road"? Street Scrambler ini didatangkan dengan roda 19 inci di depan dan roda berjejari 17 inci di belakang, dilitupi dengan tayar dwi-sukan Metzeler Tourance. Digandingkan pula dengan bantuan elektronik moden seperti ABS dan kawalan cengkaman yang boleh ubah, kami yakin yang Street Scrambler terbaru ini cukup menyeronokkan ditunggang di mana sahaja. Terdapat juga paparan instrumen LCD yang dengan jelas sekali menunjukkan halaju, rpm, kedudukan gear, tahap bahanapi, aturcara kawalan cengkaman dan banyak lagi. "Mengikut aliran trend dan kehendak penunggang masa kini, aturcara kawalan cengkaman direka siap sedia untuk ditala, dan Triumph Motorcycles akan menawarkan lebih daripada 150 aksesori untuk Street Scrambler yang akan menonjolkan lagi ciri-ciri "off-road"nya dan juga kebolehgunaan seharian," ujar Dato' Razak Al-Malique lagi. Seperti motosikal Bobber, ianya juga didatangkan dalam empat warna; Jet Black, Matte Khaki Green dengan Korosi Red, dan Frozen Silver. Harganya bermula dari RM65,900 hingga Rm67,900 (asas dengan GST).
Triumph Bonneville T100/T100 Black
Mencari motosikal yang ringkas? Mencari sesuatu yang asli dan klasik? Triumph telah menawarkan kepada anda Bonneville T100 dan juga T100 Black; gabungan antara karakteristik Street Twin dan gaya T120. Kedua-dua T100 dan T100 Black ini dijana oleh enjin sejukan cecair, lapan injap, engkol 270-darjah, Tork Tinggi 900cc selari berkembar. Kedua-dua varian ini juga menghasilkan 54hp pada 5,900rpm dan 80Nm tork pada 3,230rpm. Diinspirasikan oleh Bonneville 1959 yang ikonik dengan tangki bahanapinya yang dibentuk tangan secara klasik, plat enjin yang diperinci, tolok berkembar dan roda berjejari, rangkain T100 terbaru inin juga dilengkapi ABS, kawalan cengkaman, Ride-by-Wire, Immobiliser dan soket kuasa USB untuk membantu anda mengecas sebarang gajet semasa anda bersiar-siar dengannya. Gabungan penutup aluminium yang disadur, lencana Triumph unik untuk kedua-dua model ini dan penggunaan chrome yang meluas pada cermin, dapra, palang pemegang dan lilitan lampu hadapan, rangkaian T100 ini tampak seasli yang mungkin. T100 terbaru ini datang dengan tiga skema warna yang klasik; Aegean Blue dengan Fusion White dengan garis-garis yang dilukis tangan, Intense Orange dengan New England White dengan garis-garis dilukis tangan, serta Jet Black. Ingin menjadi 'jahat'? serlahkan 'kejahatan' anda dengan T100 Black. Diperagakan dengan penutup enjin yang dilegapkan, ekzos 'peashooter' dan rim roda, T100 Black ini terdapat dalam kemasan warna Jet Black berkilat atau Matte Black. Harga bagi T100/T100 Black bermula dari RM63,900 hingga RM65,900 (asas dengan GST), bergantung kepada skema warna.
Triumph Street Triple RS
Bagi mereka yang sedia maklum, rangkaian Street Triple terbaru ini mempunyai lebih banyak variasi yang berkesesuaian dengan mana-mana penunggang tanpa mengira gaya, kemahiran dan keinginan. Speed Triple RS terletak di tahap tertinggi dengan kelengkapan terbaik untuk menguji prestasi ke tahap batasnya. Sebagai Street Triple RS dengan kuasa kuda tertinggi, enjin sejukan cecair, 765cc, 12 injap, DOHC, 3-silinder selari lengkap dengan sistem Ride-By-Wire menghasilkan sejumlah 121.2hp pada 11,700rpm dan 77Nm tork pada 10,800rpm. Dengan kerangka alang aluminium kasau berkembar, ia dilengkapi dengan suspensi depan fork omboh besar boleh laras sepenuhnya Showa dan takungan 'piggyback' boleh laras sepenuhnya Öhlins di belakang. Terdapat lima mod tunggangan yang boleh dipilih; Sport, Road, Rain, Rider dan Track. Faktor keseronokan dipertingkatkan dengan quickshifter Triumph dan klac slipper yang disertakan dalam pakej RS. Kepantasan bermakna pakej pembrekan yang bagus juga diperlukan. Model RS ini mempunyai angkup brek monobloc M50 Brembo yang terbaik dilengkapkan pada cakera terapung berkembar 310mm di depan dan tuil nisbah-boleh ubah, silinder master radial yang melengkapkan cakera tetap 220mm dibelakang bersama dengan sistem ABS yang boleh diubah yang boleh dikhususkan mengikut kehendak dan tahap kemahiran penunggang. Model Street Triple RS ini adalah model utama rangkaian generasi ketiga Street Triple Triumph Motorcycle, termasuk model yang lebih bawah, varian 'S' dan varian 'R'. Kedua-dua varian Street Triple ini akan menyusul untuk pasaran Malaysia pada masa akan datang. Terdapat juga skrin TFT 5.0 inci terbaru yang boleh diubahsuai dan berinfomatif. Kelompok instrumen TFT ini akan juga disertakan dalam model R Street Triple tetapi tidak pada dua model bawahan yang lain. Bagi mereka yang berminat dengan varian 'R' atau pun 'S', ianya akan boleh didapati pada lewat tahun ini. Inginkan Triple RS 765cc untuk diri sendiri? Anda dapat memilikinya pada harga yang berpatutan iaitu RM66,900(asas dengan GST). Terdapat dua warna untuk model RS ini; Matte Silver Ice dan Phantom Black. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lawatilah mana-mana Triumph Motorcycles Malaysia seluruh negara atau lawati laman sesawang rasmi mereka untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/