Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Monday, February 20, 2017

MotoGP: Triumph Disahkan Sebagai Pembekal Enjin Moto2 pada 2019

  • Triumph telah menandatangani perjanjian dengan Dorna

  • Enjin 600cc 4-silinder Honda akan digantikan dengan enjin 765cc tiga silinder

  • Enjin sama yang digunakan untuk motorsikal 2017 Triumph Street Triple

Setelah sekian lama ura-ura berkeliaran di laman web, Triumph telah disahkan sebagai pembekal enjin utama MotoGP dalam kategori Moto2 mulai 2019. Berita ini telah pun dibincangkan sejak beberapa bulan lepas tetapi Triumph berjaya menandatangani perjanjian bersama Dorna sebagai pengganti Honda dalam kategori Moto2. Enjin yang akan digunakan dalam kategori Moto2 mulai 2019 adalah jenis 765cc, 3-silinder, DOHC 12 –injap yang digunakan untuk motor middleweight keluaran terbaru Triumph iaitu 2017 Street Triple. Enjin baru ini telah diambil dari Daytona 675 dengan tambahan kapasiti dan juga lebih 80 bahagian enjin yang baru. Mengikut model RS (spesifikasi tertinggi Street Triple), enjin ini mampu menjana 121hp @ 11,700rpm dan tork maksimum 76.8Nm @ 10,800rpm. Spesifikasi yang akan digunakan untuk kategori Moto2 pastinya akan jauh berbeza dari yang tertera di atas. Sejak 2010 lagi, kategori  Moto2 telah menggunakan enjin 600cc yang diambil dari Honda CBR600RR. Pada masa tersebut, motorsikal jenis middleweight merangkumi pasaran terbesar dalam kategori motorsikal berkuasa tinggi dan Honda dapat menjana keuntungan yang tinggi lebih-lebih lagi dengan promosi melalui Moto2. Akan tetapi, kategori ini semakin sepi dengan adanya motorsikal berkapasiti lebih besar yang mampu dibeli dengan harga yang tidak jauh bezanya. Sebab ini juga Honda tidak mengeluarkan CBR600RR terbaru bagi tahun 2017. Tanpa model untuk dijual, penggunaan enjin dalam Moto2 tidak dapat mempromosi apa-apa produk terbaru mereka. Keuntungan tidak akan tercapai jika promosi dilakukan untuk produk yang tidak ada untuk dijual. Setelah membuat keputusan untuk tidak meneruskan usaha dalam Moto2, Dorna perlu mencari pengganti yang sesuai untuk meningkatkan populariti Moto2. Bagi ramai peminat, Moto3 dan MotoGP mendapat lebih banyak perhatian jika dibandingkan dengan Moto2. Pada mulanya, Dorna inginkan enjin 675cc dari MV Agusta tetapi memandangkan syarikat ini sedang melalui masalah kewangan yang besar, perkara ini tidak mungkin akan berjalan dengan lancar. Ramai yang mempunyai idea dimana Triumph mempunyai enjin yang sesuai tetapi pengeluar motorsikal dari UK ini lebih fokus kepada jualan motorsikal moden klasik mereka daripada mana-mana penglibatan dalam sukan bermotor. Akan tetapi, Triumph mengejutkan kami semua dengan berita ini. Tanggungjawab sebagai satu-satunya pembekal enjin kepada semua jentera Moto2 merupakan sesuatu yang amat besar. Jika enjin 765cc mereka dapat bertahan, kami pasti kategori Moto2 akan menjadi lebih menarik dan menarik lebih banyak perhatian dari peminat. Enjin tiga silinder 765cc? Menarik, sangat menarik.

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/