Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/

Wednesday, May 25, 2016

Mineral vs Sintetik: Apa beza minyak enjin ini?

[caption id="attachment_22236" align="aligncenter" width="640"]shell-pecten-lubmatch-logo-oil-can-dripping-oil image credit to Shell[/caption] Apa beza minyak enjin untuk kereta berbanding minyak enjin untuk motosikal? Minyak enjin untuk kereta digunakan untuk melincirkan bahagian dalam enjin iaitu piston, aci engkol dan pelbagai lagi komponen yang ada dalam enjin kecuali kotak gear. Kotak gear pada kereta mempunyai minyak khas iaitu minyak pelincir untuk transmisi. Tekanan (stress) pada minyak pelincir terhadap enjin kereta tidak begitu besar jika dibandingkan dengan minyak pelincir untuk motosikal. Sebagai contoh; kereta yang berkuasa 105bhp 1.4 liter memerlukan minyak enjin pada faktor tekanan 23 (maklumat dari Shell), manakala untuk motosikal yang hanya berkuasa 600cc mampu menjana 123bhp pula memerlukan minyak pelincir pada faktor tekanan 76. Ini adalah 3 kali ganda berbanding tekanan pada kereta. Perlu juga diingat bahawa hanya dengan satu minyak pelincir tersebut, bukan komponen dalam enjin sahaja yang perlu dijaga oleh minyak pelincir malah juga sistem transmisi yang sensitif terhadap minyak pelincir. Sekiranya tidak tepat pilihan minyak pelincir, klac mungkin boleh mengalami kegelinciran.   Jadi, minyak motosikal mineral atau sintetik, yang mana lebih bagus? Saya telah membaca teknologi baru dari Shell iaitu mengenai PurePlus yang mana menggunakan proses gas kepada cecair (GTL = gas to liquid) yang mana proses ini dapat menghasilkan minyak sintetik yang lebih jernih dan lebih baik. Jadi, saya berminat untuk mengetahui mengenai perbezaan antara minyak mineral dan sintetik ini. 1L-Advance-4T-Ultra-15w-50Minyak mineral merupakan minyak yang terhasil daripada proses penyulingan yang memisahkan minyak mentah kepada beberapa bahagian lain iaitu gas, petrol, gris dan minyak pelincir. Seterusnya proses penapisan dijalankan untuk mengurangkan benda asing dalam minyak pelincir tersebut seperti sulfur, fosforus dan juga logam. Namun begitu, hasil tapisan ini mempunyai pelbagai jenis molekul yang berbeza saiznya menyebabkan susunan cecair minyak pelincir ini tidak seragam. Molekul berbeza juga mempunyai sifat yang berbeza, jadi berkemungkinan molekul ini boleh berubah sifatnya apabila suhu berubah, sedangkan amat penting untuk minyak enjin mempunyai karakteristik yang boleh dijangka (predictable charateristic). Minyak sintetik pula adalah minyak yang melalui beberapa lagi proses kimia tambahan untuk menghasilkan satu cecair pelincir yang mempunyai karakteristik yang boleh dijangka ini. Berdasarkan proses kimia, saintis boleh mendapatkan apa yang mereka mahukan dalam minyak pelincir ini. Apa yang dicari dalam minyak asas (base oil) adalah dekena. Dekena adalah rantai karbon yang mempunyai 10 atom karbon. Dekena terhasil dari proses pencantuman 5 molekul etilena yang mana mempunyai 2 atom karbon. Setelah dekena terhasil, barulah ia digabungkan untuk menjadi polimer. Polimer ini akan menjadi asas kepada minyak pelincir sintetik iaitu Poly-Alpha-Olefin (PAO). Mengapa tidak semua minyak pelincir dihasilkan melalui proses kimia ini? Jawapannya adalah kerana proses ini menambah kos kepada penghasilan minyak pelincir sintetik ini. Proses ini mahal. Apa kelebihan minyak sintetik berbanding minyak mineral? Minyak mineral akan cepat mengalami degradasi kerana masih mempunyai sedikit benda asing seperti sulfur, fosforus dan logam. Walaupun telah melalui proses penapisan, tidak 100% benda asing ini dapat ditapis. Benda asing ini akan menghasilkan kotoran dalam enjin kerana ia tidak mempunyai karakter yang baik untuk pelinciran. Minyak sintetik mempunyai kelebihan dari segi molekul yang lebih seragam dan mempunyai karakteristik yang boleh dijangka. Minyak ini juga lebih tahan suhu yang tinggi dan mempunyai faktor degradasi yang lebih rendah berbanding minyak mineral. Ada satu ujian menarik yang telah dijalankan oleh Hotrod dimana enjin 5.7 liter menghasilkan 408.3hp dengan menggunakan minyak mineral, dan menghasilkan 418.4hp selepas menggunakan minyak sintetik. Itu adalah 10.1hp peningkatan dengan hanya menukar minyak sintetik sahaja. Jadi adakah minyak sintetik lebih bagus? Pada analisis kami, minyak sintetik lebih bagus namun dengan perkembangan teknologi dan penarafan API pada minyak pelincir, minyak mineral masih baik untuk digunakan asalkan anda mengikut spesifikasi yang disarankan. Sumber rujukan: Shell Advance dan HotRod  

Read the original post at http://motomalaya.net

No comments:

Attention!

We have moved to http://motomalaya.net/